CAMERON HIGHLANDS – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak sewajarnya disalahgunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghalang komuniti asal itu mengundi pada 26 Januari ini.
Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Orang Asli mempunyai hak dan dijamin oleh Perlembagaan untuk memilih wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
“Itu tidak sepatutnya berlaku, jangan halang hak asasi, ini di bawah dan dijamin Perlembagaan bahawa setiap pengundi rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk memilih sesiapa saja.
“Kita kerajaan BN dulu kita telah pun kalah dalam PRU-14 dan kita redha, kita tak pernah mengugut, kita tak pernah buat apa-apa dulu dan tak pernah kata jangan keluar mengundi dan macam-macam,” katanya pada sidang media selepas mengunjungi Pusat Daerah Mengundi (PDM) MCA di Brinchang hari ini.
Sebelum ini, gambar kenderaan JAKOA yang didakwa disalahgunakan oleh pemimpin kerajaan PH untuk berkempen dalam PRK Cameron Highlands tular di media sosial dan satu laporan polis telah dibuat oleh calon BN, Ramli Mohd Nor sendiri.
Mohamad juga berkata, kerajaan BN sebelum ini tidak pernah menghalang mana-mana pengundi daripada keluar mengundi atau memilih sesiapa sahaja sebagai wakil rakyat mereka.
“Kita memberikan kebebasan sepenuhnya semasa kerajaan BN berkuasa sendiri dan kita harap supaya amalan demokrasi yang sihat ini dapat diteruskan oleh kerajaan PH,” katanya.
Katanya lagi, pemimpin PH tidak perlu gusar jika kerusi P078 itu dimenangi oleh calon BN kerana ia tidak akan mengubah kerajaan Persekutuan.
“Lagi pun ini pun dulu kita mempertahankan kerusi kita, saya harap supaya menggunakan jentera kerajaan, agensi kerajaan, menghalang rakyat keluar daripada menjalankan hak mereka mengundi sebagai rakyat, saya rasa itu tidak patut dan perlu dihentikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette