Home Politik Banyak janji tak tertunai, bagaimana perasaan anak muda?

Banyak janji tak tertunai, bagaimana perasaan anak muda?

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Sia-sia anak muda diheret oleh Pakatan Harapan (PH) untuk berdemonstrasi di jalanan demi menuntut perkara yang mereka gagal dilaksanakan hari ini.

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang tertanya-tanya apakah perasaan anak muda khususnya yang sering menyertai demonstrasi anjuran PH sebelum ini apabila melihat janji-janji tidak tertunai.

“Cakap memang mudah, dahulu demo sana sini, turun sana sini dan janji sana sini. Ada yang tidur atas jalan, jalan berkilometer dan bermacam lagi aksi akhirnya cakap sahaja.

“Saya terbayang bagaimana perasaan anak muda yang turut sama berdemo hingga sanggup tidur di Dataran Merdeka dan duduk beramai-ramai di jalan raya, tentu mereka kecewa.

“Ini bukan lagi janji dicapati, tosei pun boleh basi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Muhammad Khalil menyarankan agar tidak perlu parti itu terus menabur janji demi meraih kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

“Sebelum Mat Sabu buat andaian pada Pas atau Lim Kit Siang serta DAP berjanji pada pengundi Cameron Highlands bulan dan bintang, lebih baik tunaikan janji yang belum tertunai.

“Bukan satu, dua malah hampir semua janji palsu belaka. PTPTN, kos sara hidup, petrol, rumah mampu milik, bantuan kepada peneroka dan petani serta banyak lagi yang belum tertunai,” tambahnya.

PRK Parlimen Cameron Highlands yang akan berlangsung esok menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, M.Manogaran, Ramli Mohd Nor (Barisan Nasional) serta dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani, Wong Seng Yee.

Ia diadakan sejurus selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 30 November yang lalu memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen PRU-14 adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Datuk C. Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.