Home Nasional Hadi hadiah pantun kepada pengundi Cameron Highlands

Hadi hadiah pantun kepada pengundi Cameron Highlands

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tempoh berakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands jam 12 malam ini disudahi oleh Presiden Pas dengan menyampaikan empat rangkap pantun.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengumumkan kerjasama parti itu dengan UMNO menghabiskan banyak masa di kawasan Parlimen berkenaan berkempen untuk kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor.

Berikut empat rangkap pantun yang beliau hadiahkan kepada pengundi PRK Cameron Highlands.

Buah salak buah kedondong,
Sila kumpul di dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tapi salah pangkah undi.

Sila ambil seutas tali,
Kita panjat pokok pala,
Kalau pilih Tuan Ramli,
Dia mesti bawa suara pembela.

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.

Rendang sungguh Pohon Ara,
Tumbuh subur tepi telaga,
Tidak salah beramah mesra,
Kerana agama hendak dijaga.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Ramli dengan M. Manogaran dari Pakatan Harapan (PH), manakala dua calon bebas ialah Wong Seng Yee dan Salehuddin Ab Talib.

Parlimen itu mempunyai 32,105 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu dijangka 70 peratus keluar mengundi mulai jam 8 pagi hingga 5 petang esok. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Poetic Scripture is creating beauty out of language.

    Language is more than that, it is a tool meant to disseminate truth.

Comments are closed.