KUALA LUMPUR – Polis hari ini menggeledah firma guaman Rahmat Lim & Partners bagi mendapatkan dokumen yang dikaitkan dengan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut The Edge, dokumen yang dicari itu berkenaan tiga bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion yang dikendalikan oleh firma Goldman Sachs semasa terbitannya pada 2012 dan 2013.
“Polis kini berada di sana setelah mendapat perintah mahkamah untuk menggeledah kerana firma guaman itu enggan menyerahkan dokumen yang diminta oleh polis,” kata sumber kepada akhbar itu.
Sumber yang sama berkata, sebuah lagi firma Wong & Partners, yang mewakili 1MDB dalam transaksi berhubung terbitan bon itu, telah menyerahkan dokumen yang diminta.
“Peguam tidak wajar berfikir mereka boleh menahan dokumen yang berada dalam siasatan jenayah,” kata sumber itu lagi. – MalaysiaGazette