Home Politik UMNO parti penyamun yang tiada masa depan

UMNO parti penyamun yang tiada masa depan

Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berucap pada program perjumpaan bersama warga Sungai Koyan sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.078 Cameron Highlands di Dataran Sungai Koyan 1, Kuala Lipis, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2019

RAUB – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan UMNO sebagai parti penyamun yang mencuri duit rakyat dan kini sudah musnah.

Parti itu juga dakwanya sudah tidak ada masa depan.

Katanya, parti yang pernah berjuang untuk kemerdekaan dan membangunkan negara selama 45 tahun telah berubah menjadi penyamun wang rakyat.

Menurutnya, situasi itu telah menyebabkan beliau terpaksa lari meninggalkan parti yang dipimpinnya selama 22 tahun atau lima penggal.

Jelas beliau, semasa beliau jadi Presiden UMNO, parti itu tidak mencuri duit atau tidak pernah buat perkara tidak baik sehingga boleh menang dua pertiga dalam lima pilihan raya umum.

“Bagaimanapun sekarang saya tak jadi presiden UMNO dan jangan ingat saya masih merupakan presiden parti itu kerana saya sudah lari dari UMNO kerana jadi parti penyamun wang rakyat.

“Bermula dengan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai PM apabila memberi harta kepada anak dan cucu cicit menantu semua dapat habuan sehingga jadi PM untuk keluarga sendiri yang kemudian menyebabkan dia hilang majoriti Parlimen  dan lima negeri kepada pembangkang pada tahun 2008,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 1,000 pengundi Orang Asli di Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang sempena Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands esok.

Tidak terhenti setakat itu, Mahathir menegaskan, pada mulanya beliau seronok apabila Datuk Seri Najib Razak sebagai anak bekas perdana menteri itu menggantikan Pak Lah.

Bagaimanapun, katanya beliau mengenali bapa Najib, Tun Razak Hussein sebagai pemimpin yang prihatin terhadap rakyat sehingga mewujudkan  Felda, Risda dan pelbagai lagi rancangan pembangunan sehingga dijunjung rakyat.

“Semua ingat anaknya (Najib) tentu seperti dia (Tun Razak)..kata orang, bapa borek anak rintik tetapi rupa-rupanya penyangak sehingga sekejap sahaja jadi PM saya terima rombongan  mendesak saya melakukan sesuatu kerana Najib didakwa penyeleweng wang dan lari dari jalan lurus hanya harapkan balasan wang.

“Apabila saya jumpa Najib nasihati supaya turun berjumpa rakyat dan bersalam untuk sokongan, dia memberi pendapatnya bahawa duit adalah raja (cash is king).

“Bila dia berfikir begitu, jadi PM maka dia anggap boleh beli Malaysia dengan wang dan apabila tiada wang dia wujudkan 1MDB sebab kerajaan tidak boleh pinjam banyak dan bertentangan dengan dasar kerajaan,” ujar beliau.

Malah katanya Najib mencuri wang 1MDB bernilai RM42 bilion tersebut bukan bertujuan untuk berniaga tetapi digunakan poket sendiri, Jho Low serta isteri kesayangannya, Datin Seri Rosmah Mansor sehingga memaksa kerajaan sekarang membayar faedah RM400 juta setiap enam bulan.

“Isteri dia juga mencuri wang milik rakyat itu untuk membeli cincin berlian malah dia mengeluarkan duit banyak dalam bentuk bantuan BR1M dan elaun sara hidup nelayan dengan harapan membeli sokongan mereka.

“Kita bukan boleh dibeli begitu sebab ada maruah, isterinya beli sebentuk cincin berlian RM25 juta termasuk Jho Low turut mencuri..walhal wang itu boleh diberi untuk rakyat makan.

“Kalau beri duit kepada orang kita tak kisah, siapa nak sokong pencuri sila angkat tangan saya nak lihat..Ingat saya sekarang dilantik jadi PM untuk mentadbir negara dengan baik dan beri peluang kehidupan baik kepada semua,” tegas beliau.

Malah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu turut menyamakan Najib dengan Israel yang turut mencuri tanah dan pembangunan di tanah Palestin yang tidak pernah berlaku di mana-mana di dunia ini.

“Saya ditanya pemberita kenapa dua atlet Israel dihalang ke Sarawak dan saya pun menjawab mereka datang dari negara penyangak dan kami tidak suka penyangak kerana baru buang seorang penyangak (Najib) yang dikenali sebagai kleptokrat dan buang dia dalam PRU lepas disusuli UMNO,” katanya lagi.

Menurut Mahathir, beliau tidak berminat untuk pingat atau gelaran kebesaran lain kecuali bintang KSM atau singkatan kepada ‘Kerja Sampai Mati’.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) seterusnya menyifatkan UMNO kini tidak mempunyai masa depan kerana ditolak ahli dan pemimpin sendiri dan ramai dalam kalangan mereka kini sudah menyokong PH.

“Pilih seorang sahaja apa boleh buat UMNO mahu pun BN tidak ada kuasa, kalau ia pun kuasa sikit sahaja, kita kerajaan pusat berkuasa.

“Lagi pun dia letakkan Orang Asli sebagai calon bukan sayang Orang Asli atau membela nasib anda, dia hanya sayang jawatan itu sahaja sebab itu dia bertanding di Cameron,” jelas beliau.- MalaysiaGazette