Home Nasional Daftar dengan persatuan yang sah supaya kebajikan veteran ATM terjamin

Daftar dengan persatuan yang sah supaya kebajikan veteran ATM terjamin

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bantuan dan sokongan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa diteruskan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

Antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam dan sebagainya.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad menyeru veteran ATM untuk mendaftar dengan persatuan yang sah bagi memudahkan urusan dan penyampaian bantuan dan maklumat.

“Di dalam membantu dan memberi perkhidmatan kepada Veteran ATM, JHEV ATM melalui cawangan di seluruh negara bertanggungjawab untuk memantau dan memberi bantuan sewajarnya kepada veteran ATM dengan sokongan dan bantuan persatuan veteran yang berdaftar di bawah Akta Veteran 2012.

“Sebarang permasalahan perlu disampaikan kepada JHEV ATM samada melalui Cawangan JHEV negeri ataupun persatuan veteran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi menjawab dakwaan Gerakan Reformasi Veteran ATM yang mengatakan Kementerian Pertahanan tidak mempunyai rancangan untuk veteran.

ARTIKEL BERKAITAN: Veteran ATM desak PH isytihar pelan kebajikan

Semalam, Pengerusi Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVTAM), Azizan Salleh mendesak kerajaan mengisytiharkan pelan dan inisiatif yang dapat meningkatkan kebajikan serta status kehidupan golongan veteran yang selama ini dikatakan dipinggirkan kerajaan terdahulu.

Katanya, pihaknya meletakkan harapan tinggi menggunung kepada kerajaan baharu menerusi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu supaya dapat menangani beberapa isu yang berkaitan dengan kebajikan mereka, balu dan anak-anak.

Menurut Dzulkarnain, dakwaan GRVATM itu adalah tidak berasas, malah Majlis Veteran Kebangsaan yang julung kalinya diadakan pada 24 Disember lalu dan sekali lagi akan diadakan pada bulan depan merupakan platform terbaik untuk membincangkan permasalahan, rancangan masa depan dan idea-idea baharu untuk kebajikan Veteran ATM.

“Isu permasalahan veteran ATM bukanlah isu baru dan telah dibangkitkan semenjak pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Kerajaan sememangnya prihatin akan kebajikan Veteran ATM dan melalui JHEV ATM masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada

“Mana-mana veteran yang masih mempunyai permasalahan atau perkara yang ingin disuarakan perlulah menyampaikannya melalui saluran yang betul,” katanya lagi.-MalaysiaGazette