Home Ekonomi FBM KLCI diramal uji 1,720 mata

FBM KLCI diramal uji 1,720 mata

Nazri Khan

KUALA LUMPUR – Unjuran ekonomi global yang positif dijangka terus memacu Bursa Malaysia, begitu juga bursa serantau, ke arah momentum lebih kukuh selain mendorong petunjuk penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguji paras 1,720 mata.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan), Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, kaunter berkaitan pengguna dijangka menerajui permintaan minggu depan, sebelum sambutan perayaan akan datang.

Beliau berkata tahap keyakinan pelabur semakin baik, dengan perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta rundingan Brexit, menunjukkan petanda positif.

“Theresa May dilihat mendapat sokongan Democratic Unionist Party dari Ireland Utara, yang akan meningkatkan peluang rundingan Brexit diluluskan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Nazri Khan berkata jangkaan bahawa komoditi dan ringgit meneruskan momentum positif pada minggu depan juga akan menyokong indeks tempatan.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan mencatatkan corak dagangan tidak menentu, dipengaruhi terutamanya faktor luaran seperti perbincangan perdagangan AS-China akan datang, serta laporan terkini berkaitan rancangan United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah.

Pada asas Jumaat-Jumaat, petunjuk penanda aras FBM KLCI ditutup 8.81 mata lebih tinggi kepada 1,701.03.

Indeks FBM Emas meningkat 81.60 mata kepada 11,785.96, Indeks FBMT 100 naik 84.87 mata kepada 11,668.86, Indeks FBM Emas Syariah menokok 98 mata kepada 11,725.73, FBM 70 melonjak 202.73 mata kepada 13,980.29, tetapi Indeks FBM Ace susut 5.09 mata kepada 4,464.45.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 108.28 mata kepada 17,636.53, Indeks Perladangan naik 101.13 mata kepada 7,302.17, dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 0.53 mata kepada 164.19.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 10.23 bilion unit bernilai RM8.22 bilion daripada 12.37 bilion unit bernilai RM9.32 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 7.60 bilion unit bernilai RM7.75 bilion daripada 9.19 bilion unit bernilai RM8.75 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran mengecil kepada 1.37 bilion unit bernilai RM251.08 juta daripada 1.83 bilion unit bernilai RM359.94 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE hampir tidak berubah pada 1.34 bilion saham bernilai RM217.37 juta berbanding 1.34 bilion saham bernilai RM211.61 juta. – MalaysiaGazette