TANAH RATA – Seawal jam 7.30 pagi tadi para pengundi mula memenuhi luar pekarangan pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini bagi menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Tinjauan MalaysiaGazette di pusat mengundi di sini mendapati kebanyakan pengundi yang beratur awal itu merupakan dalam kalangan masyarakat orang Asli yang rata-ratanya hampir kesemua di tujuh saluran, di sini.
Lebih menarik apabila ada pengundi orang Asli tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawabnya walaupun terpaksa membawa bayi berusia empat bulan ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah.
Fauziah Yokjuntai, 42, dari Kg Sungai Ubi antara pengundi orang Asli terawal membuang undi di pusat mengundi di sini kira-kira jam 8.03 pagi ini.
Selain Fauziah, MalaysiaGazette turut menemui beberapa orang Asli yang menggendong bayi ketika membuang undi di saluran enam dan tujuh namun enggan didekati dan terus berlalu selepas selesai mengundi.
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah antara pusat mengundi yang mempunyai pengundi paling ramai dalam Parlimen Cameron Highlands iaitu seramai 3,201 pengundi.
Ini diikuti dengan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Brinchang dengan 2,627 pengundi; Sekolah Jenis Kebangsan Tamil Ringlet (2,345) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Koyan (2,233).
Seramai 811 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan untuk mengendalikan proses pengundian dalam PRK Cameron Highlands, hari ini.
Kesemua petugas SPR itu akan ditempatkan di 29 pusat mengundi membabitkan 86 saluran yang mula dibuka untuk pengundian jam 8 pagi tadi dan ditutup selewat-lewatnya jam 5.30 petang ini.
Hari pembuangan undi bagi PRK Cameron Highlands hari in membabitkan 31,639 pengundi layak dan berdaftar dengan SPR.
Pilihan raya bagi kawasan kerusi P078 itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabtikan calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor; calon Pakatan Harapan (PH), M.Manogaran dan dua calon Bebas iaitu Sallehuddin Abd Talib dan Wong Seng Yee.
Pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang dimenangi calon BN, Datuk C.Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah.
Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata beliau berpandangan bahawa pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi. – MalaysiaGazette