KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata, beberapa papan tanda dengan tulisan ‘Harapan Baru Malaysia’ di tiga perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan.
Oleh yang demikian, Jakoa telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada pihak kontraktor untuk menurunkan papan tanda yang tidak sepatutnya dinaikkan tersebut.
Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Ajis Sitin berkata, pihaknya memohon maaf berhubung perkara tersebut dan akan memastikan bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang di masa hadapan.
Pada hari terakhir kempen di Cameron Highlands, tiba-tiba muncul papan tanda mengenai projek pembangunan Jabatan Kemajuan Orang Asli di beberapa perkampung masyarakat berkenaan.
Semalam, sebuah portal mendedahkan terdapat papan tanda berlogo Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan lambang “Harapan Baru Malaysia” itu didirikan di Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, Lembah Bertam.
Papan tanda tersebut menyatakan pembangunan itu membabitkan projek baik pulih rumah yang bertarikh 18 Januari hingga 17 Februari 2019.
Di Kampung Sungai Kabuk, juga terdapat papan tanda itu menyatakan ia adalah projek baik pulih tadika, namun tiada tarikh yang dipaparkan.
Papan-papan tanda itu dipercayai baharu diletakkan kerana simen yang digunakan untuk mendirikannya belum kering.
Pada papan tanda berkenaan juga tercatat perkataan Jasa Kepada Orang Asli. – MalaysiaGazette
[…] Sumber Berita MalaysiaGazette […]