KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus meningkat minggu depan, seiring dengan prestasi kadar asas pasaran tunai serta sentimen pasaran yang kekal memberangsangkan.
Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, jangkaan komoditi dan ringgit meneruskan momentum positif pada minggu depan akan turut menyuntik sokongan terhadap indeks tempatan.
“Selain itu, cuti bersempena Tahun Baru Cina yang akan datang ini lazimnya turut memberi kesan positif terhadap pasaran, khususnya bagi kaunter-kaunter berkaitan pengguna,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Januari 2019 meraih 10.5 mata kepada 1,701, Februari 2019 dan March 2019 masing-masing naik 11 mata kepada 1,702 dan 1,698 manakala Jun 2019 menokok 12 mata kepada 1,691.
Jumlah dagangan bagi minggu ini berkurangan kepada 26,841 lot daripada 27,579 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 29,134 kontrak daripada 27,794 kontrak.
FBM KLCI ditutup 8.81 mata lebih tinggi kepada 1,701.03 daripada 1,692.22 pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette