Home Utama PRK Cameron Highlands: 31,750 pengundi akan keluar undi

PRK Cameron Highlands: 31,750 pengundi akan keluar undi

Pengundi sudah mula beratur untuk mengundi di Parlimen Cameron Highlands yang bermula 8 pagi ini.

CAMERON HIGHLANDS – Seramai 31 750 orang pengundi Parlimen Cameron Highlands akan mula mengundi pada pukul 8 pagi ini.

Jumlah itu tidak termasuk 247 pengundi awal yang sudah mengundi Jumaat lalu.

Mereka akan menjalankan tanggungjawab itu di 88 saluran di 31 buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang disediakan di Parlimen tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan 70 peratus pengundi berdaftar akan keluar mengundi hari ini.

Keputusan penuh PRK dijangka diketahui sebelum atau pada jam 10 malam ini.

Seramai 811 petugas SPR terlibat dalam melaksanakan tugas mereka sepanjang hari mengundi ini.

Para petugas SPR serta anggota polis bersiap sedia di setiap pusat daerah mengundi untuk melicinkan proses mengundi pada hari ini.

WhatsApp Image 2019-01-26 at 07.51.44

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah merupakan Pusat Daerah Mengundi yang memiliki jumlah pengundi berdaftar tertinggi iaitu 3,201 orang pengundi berdaftar diikuti SJKC Brinchang (2,627) pengundi yang akan mengundi bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Manakala seramai 2,233 pengundi akan mengundi di SMK Sungai Koyan salah satu pusat daerah mengundi yang hanya dibuka setakat 3 petang ini sahaja.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis merupakan Pegawai Pengurus PRK kali ini.

Penamaan calon telah berlangsung pada 12 Januari lalu manakala pengundian awal melibatkan 247 pengundi awal selesai pada 22 Januari lepas.

PRK Parlimen P78 Cameron Highlands kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dua calon Bebas.

Ia melibatkan calon PH, M. Manogaran dan calon BN, Ramli Mohd Noor.

Calon-calon Bebas pula ialah bekas Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani tempatan Wong Seng Yee.

Seng Yee yang merupakan anak tempatan mengundi di Sekolah Kebangsaan Bertam Valley, Tanah Rata sekitar 8 pagi tadi.

Segala proses berkempen mengikut SPR ditamatkan pada Jumaat 11.59 malam 25 Januari 2019.

Pakatan Harapan melengkapkan kempen menerusi ceremah dan perjumpaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pengundi Orang Asli di Felda Sungai Koyan tengahari semalam.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya, 30 November lalu, mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14 lalu, Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M. Manogaran dari PKR (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari PSM (680 undi).

PRK kali ini adalah yang kelima selepas PRU14 9 Mei lalu dengan tiga daripadanya adalah DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong serta sebuah Parlimen Port Dickson.- MalaysiaGazette