CAMERON HIGHLANDS – Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti 3,238 undi.
Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ishak Md Nafis pada jam 8.28 malam di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini.
Ramli, memperoleh 12,038 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran, 59, yang memperoleh 8,800 undi.
Sementara itu calon Bebas Sallehuddin Ab Talib yang menggunakan simbol buku memperoleh 314 undi dan Wong Seng Yee mendapat 276 und
i dengan simbol cangkul.
Majoriti undi yang diperoleh calon BN kali ini lebih besar berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Parlimen Cameron Highlands yang ditandingi oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk C. Sivarajjh.
Pada PRU14, Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.
Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).
Pada 4 Jun lepas, Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya untuk memohon agar pengisytiharan keputusan PRU14 untuk kerusi P078 terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ia berikutan Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya. – MalaysiaGazette