
KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meningkat secara sederhana minggu depan, didorong terutama oleh asas domestik yang kukuh di samping harga minyak mentah tinggi, walaupun wujud ketidaktentuan dalam pasaran global.
Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pada minggu lepas, mata wang tempatan mencatatkan kenaikan memandangkan ekonomi global terus bergelut dengan ketidaktentuan yang meningkat.
“Ketidaktentuan ini adalah kesan daripada semakan semula unjuran yang lebih rendah bagi pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Brexit United Kingdom serta penutupan operasi pentadbiran kerajaan AS yang berlarutan lebih sebulan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata penyusutan dolar AS pada Jumaat, menunjukkan kebimbangan terhadap penutupan berkenaan dan kesannya ke atas ekonomi.
“Ini khususnya apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan akan mengadakan mesyuarat kali pertama bagi 2019 pada 29 dan 30 Jan ini. Penutupan operasi pentadbiran kerajaan AS yang berpanjangan akan menyokong ke arah tiada perubahan kadar dana Rizab Persekutuan pada mesyuarat akan datang.
“Minggu depan, kita yakin ringgit akan bergerak hampir kepada paras sokongan semasa RM4.11,” katanya.
Di peringkat tempatan, pakar ekonomi itu berkata keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.25 peratus baru-baru ini menunjukkan tahap akomodatif monetari adalah konsisten.
Kadar itu, katanya, akan kekal pada paras semasa bagi sepanjang tahun ini tertakluk kepada prospek ekonomi yang berkembang, yang juga boleh menjadi faktor ke arah kekukuhan ringgit.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan turun kepada 4.1225/1275 daripada 4.1100/ 1150 berbanding dolar AS.
Ringgit juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0346/0385 daripada 3.0301/0342 serta lemah berbanding pound Britain kepada 5.3935/4004 daripada 5.3179 / 3248.
Berbanding yen Jepun, ringgit susut kepada 3.7542/7598 daripada 3.7507/7559 namun meningkat berbanding euro kepada 4.6704/6769 daripada 4.6842/6903.
Pasaran Malaysia akan ditutup pada Jumaat, 1 Februari sempena Hari Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette