Home Utama Warga emas hilang penglihatan puas hati dapat mengundi

Warga emas hilang penglihatan puas hati dapat mengundi

Bachai Belamjal menunjukkan jarinya yang sudah dicelup selepas mengundi di SJKC Brinchang, pagi tadi.

CAMERON HIGHLANDS – Walaupun uzur dan hilang penglihatan sepenuhnya, semangat Bachai Belamjal ,79 tidak luntur semangat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pagi ini.

Beliau yang berkerusi roda ditemani anaknya tiba di Pusat Daerah Mengundi SJKC Brinchang pukul 8.05 pagi tadi.

Bachai selesai mengundi 30 minit kemudian sebelum muncul dengan senyuman di wajah.

Walaupun tidak dapat melihat, beliau kelihatan begitu bersemangat untuk mengundi kali ini bagi memilih wakil rakyat.

Katanya, beliau tidak ingat bila kali pertama mengundi pada pilihan raya tetapi puas hati kerana tidak terlepas peluang undi pada PRK kali ini.

“Pakcik dah tak ingat dah na bila kali pertama pakcik undi di sini.

“Sejak selepas 21 tahun pakcik tidak pernah gagal mengundi pada setiap pilihan raya.

“Cuma sejak tiga tahun lepas pakcik sudah hilang penglihatan sepenuhnya dan perlukan bantuan kerusi roda untuk ke mana- mana dan ditemani anak saya.

“Kali ini, untuk PRK pakcik mula bimbang keuzuran usia 79 tahun halang aku mengundi tetapi gembira tuhan beri kekuatan dan semangat untuk hadir undi celup jari pada dakwat biru,” katanya kepada MalaysiaGazette pagi tadi.

Bachai merupakan bekas kakitangan Hospital Cameron Highlands dan berasal dari Sungai Ruil Brinchang.

“Pakcik tak risau hilang penglihatan sebab anak-anak saya semua 11 orang bantu pakcik.

“Pakcik cuma harap terus diberi kesihatan dan keupayaan untuk terus mengundi pada setiap pilihan raya selepas ini,” katanya sebelum beredar meninggalkan SJKC Brinchang.

Sebanyak enam saluran dibuka di PDM SJKC Brinchang hari ini untuk keselesaan seramai 2627 pengundi di sini.

Cuaca pagi ini agak tenang dan cerah dengan suhu sejuk sekitar 14 darjah selsius.

Seramai 811 petugas SPR dan dua helikopter SPR serta sebuah helikopter pemantauan udara polis terlibat dalam proses PRK Cameron Highlands dan lebih 110 polis trafik ditugaskan menyelia aliran lalu lintas di Parlimen tersebut sejak semalam.

Kesesakan dijangkakan berlaku menjelang tengah hari ini disebabkan cuti hujung minggu serta kehadiran pelancong tempatan dan asing pada kadar tinggi.

Proses mengundi di Cameron Highlands berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

PRK Parlimen P78 Cameron Highlands kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dua calon Bebas.

Ia melibatkan calon PH, M. Manogaran dan calon BN, Ramli Mohd Noor.

Calon-calon Bebas pula ialah bekas Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani tempatan Wong Seng Yee.

PRK kali ini adalah yang kelima selepas PRU14 9 Mei lalu dengan tiga daripadanya adalah DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong serta sebuah Parlimen Port Dickson.- MalaysiaGazette