KUALA LUMPUR – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) untuk merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung semalam perlu dijadikan pengajaran.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata, jumlah majoriti yang berjaya diraih Barisan Nasional (BN) dalam mengekalkan kerusi tersebut adalah petanda kepada PH untuk tidak terlalu yakin kerana telah berjaya menewaskan parti itu pada pilihan raya umum yang lalu.
Malah katanya, keputusan itu membuktikan rakyat menilai cara tadbir urus parti itu selain kegagalan menunaikan segala janji yang pernah ditabur sebelum 9 Mei tahun lalu.
“Ini bagus juga, sebagai cermin kepada Pakatan Harapan untuk melihat wajah mereka sebenarnya pantulan bayangan daripada cermin, dengan kemenangan BN ini satu pengajaran kepada diri mereka bahawa mereka tidak harus terlalu yakin kepada diri mereka.
“Dalam perjalanan pentadbiran lebih kurang 8 bulan bukan segalanya baik di bawah Pakatan Harapan, rakyat menyedari hakikat bahawa apa yang dijanjikan Pakatan Harapan menjelang pilihan raya yang lalu dalam manifesto mereka bukanlah yang dapat ditunaikan, realitinya lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti 3,238 undi.
Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ishak Md Nafis pada jam 8.28 malam semalam di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah.
Ramli memperoleh 12,038 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran, 59, yang memperoleh 8,800 undi.
Sementara itu calon bebas, Sallehuddin Ab Talib yang menggunakan simbol buku memperoleh 314 undi dan Wong Seng Yee mendapat 276 undi dengan simbol cangkul.
Majoriti undi yang diperoleh calon BN kali ini lebih besar berbanding keputusan PRU14 yang ditandingi oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk C. Sivarajjh iaitu 597 undi.
Kesungguhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menurut Jeneri, membantu kempen BN selama 14 hari juga tidak boleh dinafikan.
Caranya mendekati pengundi, termasuklah mengetengahkan keluhan peneroka tentang kesempitan hidup selama parti itu menjadi kerajaan pada akhirnya mengakibatkan harga sawit menyusut.
“Tidak dapat dinafikan di sebalik pelbagai isu yang membelenggu Najib Razak, aura beliau masih lagi terasa oleh penduduk di situ.
“Walaupun isu 1MDB dimainkan tapi ternyata mereka tidak pedulikannya dengan kesungguhan Najib turun ke kawasan itu turut membantu kempen, nampaknya memberi kesan.
“Banyak tidak ditunaikan, mereka banyak buat pusingan U termasuk isu-isu berkaitan peneroka Felda. Apatah lagi faktor masalah harga sawit rendah dan isu-isu yang tidak ditunaikan berkaitan mereka,” tambah pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang dalam masa yang sama turut berpendirian kerjasama Pas dan BN kali ini membuahkan hasil.
Kesimpulannya Jeneri berkata, PRK Cameron Highlands adalah ‘wake up call’ buat Pakatan Harapan untuk fokus bekerja untuk rakyat, tangani isu yang dekat dengan pengundi bukannya secara konsisten menuding jari kepada BN.
“Satu ‘wake up call’. Cermin untuk mereka menilai diri mereka bukan sahaja untuk membetulkan keadaan, mentadbir kerajaan seharusnya dengan lebih baik, selesaikan masalah ekonomi, melangkah ke hadapan dengan berusaha tangani isu yang membelenggu rakyat, bukan lagi asyik menuding jari kepada kerajaan terdahulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette