ARAU – Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senarai individu yang akan menganggotai suruhanjaya itu sudah pun ada dan akan diserahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau bagaimana pun tidak menyatakan secara terperinci mengenai bila ia akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau nama individu yang akan menganggotai suruhanjaya itu.
“Sebelum ini memang ada laporan-laporan yang dibuat dan siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia, tetapi kita dapati yang mungkin lebih baik untuk mengelakkan salah faham, buruk sangka mengenai isu ini, maka sebuah suruhanjaya dibentuk,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog Kongres Melayu Perlis 2019 di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, selepas RCI itu dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia akan diberikan masa selama enam bulan untuk menyiasat perkara itu dan selepas itu, akan membentangkan laporannya.
Pada Mei 2015, polis mengumumkan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit sempadan negara di kawasan berbukit di Wang Kelian.
Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan pembukaan pintu sempadan secara 24 jam yang dilihat mungkin berpotensi membawa ancaman keselamatan, Muhyiddin berkata keselamatan rakyat dan negara ini tetap menjadi keutamaan kerajaan.
Katanya, kerajaan juga akan mengkaji sekiranya perlu untuk menambahkan anggota bagi mengawal pintu masuk di sempadan yang akan beroperasi 24 jam mulai 1 April ini.
“Kita mahu kawasan pintu-pintu sempadan selamat dan menjadi tempat bagi rakyat kedua-dua negara terutama Malaysia dan Thailand dapat keluar masuk dan berurus niaga secara tertib dan teratur,” katanya. – MalaysiaGazette