KUALA LUMPUR – Pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah pilihan tepat yang memangkinkan semangat pertubuhan dinaunginya, Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia.
Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abd Ghani berkata, baginda sebagai Penaung Diraja Srikandi Malaysia sejak diasaskan pada 2012 ibaratkan nadi dalam memastikan kelangsungan Srikandi Malaysia terus menyumbang bakti kepada negara khususnya terhadap wanita.
“Pelantikan baginda sudah pasti menjadi kebanggaan buat rakyat Pahang kerana baginda dikenali sebagai Sultan yang dekat di hati rakyat jelata.
“Saya doakan baginda dan isteri (Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) diberi kesihatan yang baik untuk memerintah negara dengan bijaksana, semoga baginda diberikan kesejahteraan berpanjangan,” katanya dalam kenyataan.
Pertubuhan Srikandi Malaysia bergiat aktif dan telah banyak membantu masyarakat menjalankan kerja-kerja amal, turun ke kampung dan pendalaman membantu golongan asnaf dan masyarakat dalam kebajikan mereka.
Srikandi Malaysia turut memberi bantuan biasiswa dan kali ini fasa kelima kepada pelajar miskin tercicir dari segi pelajaran dan kini mempunyai seramai 536 anak-anak yatim di bawah pemantauan mereka. – MalaysiaGazette