KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak untuk membentangkan status terkiniĀ projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kegagalan PH membuat penjelasan sehingga kini menimbulkan kecurigaan terhadap perkara sebenar dan seolah-olah cuba melindungi sesuatu.
“Mengapa pihak kerajaan masih belum mengumumkan keputusan rasmi berhubung status terkini projek ECRL? Apa perkara yang cuba diselindungkan oleh Jemaah Menteri?” soalnya menerusi kenyataan hari ini
Malah menteri yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut juga masih tidak diketahui dan mengakibatkan ia menjadi salah satu daripada kelemahan PH dalam urus tadbir kerajaan.
“Siapa sebenarnya menteri yang bertanggungjawab ke atas projek ECRL?
“Perkara penting seperti ini menggambarkan kelemahan ketara pihak kerajaan dalam mentadbir negara,” tambahnya.
Jika benar ia dibatalkan seperti yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu lalu, maka tambah Amzad, jumlah pampasan yang dibayar kerajaan perlu diumumkan.
“Saya mendesak pihak kerajaan segera membentangkan status terkini projek ECRL termasuk ganti rugi yang telah dibayar ekoran penangguhan projek yang telah dibuat sejak Julai 2018,” ujar Ahmad Amzad.
Untuk rekod, pada 18 Januari yang lalu, The Edge melaporkan bahawa kerajaan telah membatalkan kontrak China Communications Construction Group Ltd (CCCC) sebagai pemaju ECRL.
Namun Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada minggu lalu berkata, tidak tahu perkembangan projek tersebut sebelum Azmin pada Sabtu mengesahkan perkara itu dimuktamad pada mesyuarat Kabinet pada Khamis.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula terkejut dengan pengumuman Azmin itu. -MalaysiaGazette