KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan tidak merancang menubuhkan balai bomba di Pulau Banggi, Sabah.
Cadangan tersebut timbul berikutan kemusnahan 81 rumah panjang di pulau itu dalam kebakaran pada 13 Januari lalu.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya mempunyai dasar yang mana beberapa perkara perlu diberi pertimbangan bagi membina balai bomba, antaranya lokasi dan peratusan kawasan perindustrian dan sebagainya.
“Kita ada Bomba Sukarelawan di situ sebagai pasukan pertama yang bertindak sewaktu bencana.
“Tetapi kita perlu faham juga rumah panjang yang banyak, kita menggalakkan mereka menubuhkan bomba sukarelawan dan pegawai bomba akan melantik anggota dan disediakan dengan peralatan asas beroperasi sewaktu kebakaran.
“Tetapi untuk menempatkan mereka semua, jabatan di negeri patut ada perancangan, pasal keperluan balai bomba kita kena kaji untuk jangka panjang tidak boleh bertindak secara ad hoc satu kali rumah terbakar letak balai di situ..dan rumah kamu ( kearah wartawan) pula terbakar satu balai lagi (di bina)?,” katanya
Beliau menyatakan demikian selepas majlis pelancaran Dasar Perumahan Negara 2018-2025 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini. – MalaysiaGazette