Home Nasional Mahkamah, RCI tidak dapat bersihkan nama saya

Mahkamah, RCI tidak dapat bersihkan nama saya

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulangkan paku buah keras kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung kematian Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim dua bulan lalu.

Kata Najib, selama 10 tahun jentera dan propaganda DAP telah menuding jari dan menyalahkan dirinya berhubung kematian Setiausaha Politik, Teoh Beng Hock kerana ia berlaku semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Najib menerusi laman sosial Facebook berkata, ketika itu Kit Siang bermati-matian menyalahkan dirinya dan meletakan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan BN.

“Jika kita mengikut logik Kit Siang, siapa yang patut bertanggungjawab ke atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang mengalami kecederaan kritikal semasa menjalankan tugas dua bulan dahulu?

“Kini kerajaan yang sama adalah kerajaan parti anda dan tanggungjawab beralih kepada kamu. Pergilah siasat lagi jika mahu,” katanya sebentar tadi.

Terdahulu dalam status tersebut, Najib menyoal Kit Siang mengapa sejak awal-awal lagi pemimpin DAP itu tidak mengisytiharkan dirinya tidak bersalah dengan kematian mendiang Beng Hock.

Sebaliknya, Kit Siang mengeluarkan kenyataan Najib tidak bunuh Teoh pada pada bulan Oktober lalu selepas beberapa ditekan.

Meskipun begitu, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) tidak dapat membersihkan namnya sebagai bukan pembunuh Teoh Beng Hock.

“Bukan main lama. Hanya 10 tahun sahaja, jentera dan propaganda DAP meletakkan nama dan gambar saya bersama dengan mendiang Teoh Beng Hock dan menuduh saya sebagai pembunuh Teoh.

“Mengapa Kit Siang dari dulu tidak berkata demikian bahawa saya bukan pembunuh mendiang Teoh?.

“Walaupun Kit Siang isytihar saya bukan pembunuh tetapi dia kata saya tetap bertanggungjawab terhadap kematian Teoh juga kerana pada masa itu, kerajaan ialah kerajaan saya,” tambahnya.

Kenyataan tersebut mendapat lebih 13 ribu ‘like’ dan perkongsian tidak sampai dua jam.

Malah rata-rata melahirkan pelbagai reaksi dengan kebanyakan menyokong Najib.

Selama hampir 10 tahun DAP berkempen secara besar-besaran demi ‘keadilan Untuk Teoh Beng Hock’ sehingga diwujudkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Isu itu juga menjadi kempen pilihan raya.

Manakala anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat kecederaan parah setelah diserang oleh beberapa individu yang belum dikenal pasti dalam satu rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Setelah bertarung nyawa selama 21 hari, Muhammad Adib akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember lalu.

Sementara Teoh pula ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, tempat terletaknya ibu pejabat SPRM Selangor pada pagi 16 Julai 2009.

Sebelum ini, beberapa kali Ahli Parlimen Bukit Gelugor (DAP), Ramkarpal Singh mendesak agar kes kematian Teoh segera dibuka semula, yang kemudian mendapat perhatian daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 7 Januari 2011, Najib yang ketika itu menjadi Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian  Beng Hock.

Bagaimanapun 21 Julai 2011 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan Suruhanjaya Diraja Siasatan kematian Teoh Beng Hock mendapati setiausaha politik DAP itu membunuh diri. – MalaysiaGazette