KUALA LUMPUR – Maybank berada dalam kalangan 500 jenama utama dunia buat kali pertama, selepas namanya dimasukkan dalam Global Brands 500 Brand.
Institusi perbankan tersebut merupakan satu daripada dua jenama yang dimasukkan dalam penyenaraian berprestij itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata, ia mencapai nilai jenama sebanyak AS$4.2 bilion (RM17.27 bilion), peningkatan 32 peratus daripada penilaian tahun lepas sebanyak AS$ 3.16 bilion.
Prestasi itu sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama bank terulung di Malaysia untuk tahun kelima, meningkatkan penarafan dari AAA ke AAA dan mencatatkan peningkatan dalam Indeks Kekuatan Jenama (BSI) kepada 86/100 tahun ini daripada 82/100 sebelum ini.
BSI adalah pemacu utama yang menyumbang kepada penilaian jenama dan menentukan kekuatan jenama.
Prestasi mantap dicapai di peringkat serantau memandangkan Maybank adalah antara lapan jenama ASEAN yang tersenarai dalam ranking global.
Bank itu telah menempatkan kedudukannya di tangga ke-494 dalam senarai 500 jenama paling berharga di dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pengiktirafan itu merupakan satu gambaran usaha berterusan Maybank dalam membina hubungan yang lebih erat dengan pihak berkepentingannya dan memberi tumpuan kepada memberikan nilai yang konsisten melalui semua produk dan perkhidmatannya.
“Kami percaya ia menunjukkan bagaimana jenama tempatan dari Malaysia menentukan piawaian baharu dan meningkatkan kedudukan di pentas global dengan sokongan daripada semua pihak berkepentingannya,” katanya. – MalaysiaGazette