Home Nasional Peguam bekas anggota SPR cadang saman AG

Peguam bekas anggota SPR cadang saman AG

Khairul Azam Abd Aziz
Peguamcara dan Aktivis Masyarakat, Khairul Azam Abd Aziz.

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam mewakili empat bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disiasat oleh Tribunal Pilihan Raya hari ini berhubung dakwaan salah laku ketika mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, sedang mempertimbang untuk menyaman peguam negara, Tommy Thomas.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata tindakan itu adalah kerana pihaknya melihat penubuhan serta persidangan tribunal itu tidak perlu diteruskan memandangkan Thomas mengetahui anak guamnya telah menghantar surat perletakan jawatan sekitar November lalu dan perletakan jawatan itu berkuatkuasa pada 1 Jan lalu.

Beliau turut menyifatkan penubuhan dan persidangan tribunal itu sebagai suatu pembaziran terhadap peruntukan perbelanjaan negara.

“Pengerusi tribunal ini mengatakan ada two terms of reference yang dibangkitkan iaitu untuk mengenal pasti jika ada berlaku salah laku (oleh bekas anggota SPR pada PRU14) dan menyingkirkan mereka (daripada SPR). Bagaimanapun, dalam hal ini, anak-anak guam saya telah meletakkan jawatan maka kedua-dua terms of reference tidak terpakai.

“Keadaan mungkin berbeza jika tribunal ini bersidang sebelum 1 Jan. Tujuan tribunal hanya satu iaitu untuk tamatkan khidmat mereka, namun, orang dah letak jawatan tidak boleh dipecat, ini common sense,” katanya kepada pemberita selepas persidangan tribunal itu di Kompleks Mahkamah di Klang, hari ini.

Kata beliau, jika sekalipun anak guamnya masih berkhidmat dengan SPR, mereka mempunyai imuniti seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 6 Akta SPR 1957 daripada didakwa di mahkamah berkaitan salah laku melainkan ia hanya dibangkitkan menerusi tribunal seperti itu.

Disebabkan itu, menurut Mohd Khairul Azam, persidangan tribunal itu selepas anak guamnya meletakkan jawatan disifatkan sebagai suatu kekhilafan dibuat oleh Thomas dan beliau sepatutnya bertanggungjawab ke atas segala kos yang dibelanjakan bagi menjalankan tribunal itu.

Pada persidangan tribunal itu, Mohd Khairul Azam bersama dua lagi peguam iaitu Datuk Shaharudin Ali dan Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Md Yusop Mansor serta Datuk Sulaiman Narawi.

Dua lagi bekas anggota SPR yang turut terlibat dalam siasatan tribunal adalah Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

Anggota tribunal itu pula terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang bersara iaitu Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong (pengerusi tribunal), Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Terdahulu, peguam M Puravalen dari Badan Peguam, yang membantu lima anggota tribunal itu berkata dapatan daripada tribunal tersebut yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh enam anggota SPR terbabit semasa penyediaan dan pengendalian PRU14 tahun lepas, berkemungkinan ditafsir sebagai akademik memandangkan kesemua mereka telah meletak jawatan.- BERNAMA