KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menggariskan Sub Dasar Rumah Mampu Milik Negara bagi membela golongan B40 dan belia di bawah Dasar Perumahan Negara 2018-2025.
Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, di bawah sub dasar berkenaan kerajaan menyasarkan untuk membangunkan 100,000 rumah mampu milik untuk manfaat golongan berpendapatan B40 setiap tahun bermula tahun ini.
KPKT sendiri akan menyediakan 61,000 unit rumah mampu milik atau 54 peratus manakala selebihnya akan diuruskan kerajaan negeri dan pihak swasta, katanya.
“Dalam 10 tahun akan datang sejuta rumah mampu milik untuk golongan B40 akan terlaksanakan seperti yang disasarkan kerajaan membantu golongan miskin yang tidak mampu membeli rumah.
“Kami komited dalam menjamin kehidupan selesa, selamat dan terjamin untuk golongan berpendapatan rendah itu memiliki kediaman sendiri yang tetap tanpa tercicir atau didiskriminasikan pembangunan negara,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Ampang itu lagi, DRN mencakupi lima teras utama, 16 strategi dan 57 pelan tindakan untuk mempekasa perumahan negara supaya saksama untuk rakyat.
DRN yang dikeluarkan dalam bentuk buku sebanyak 144 muka surat itu untuk semua pemain industri dan pembeli untuk digunakan sebagai garis panduan dan rujukan dalam menyediakan dan pemilikan rumah.
Menurutnya, mereka akan tahu apa yang diperlukan dalam pemilikan rumah. Ia juga boleh diperoleh menerusi laman web JPRM.
“Rumah mampu milik berkenaan akan dibina dengan berkeluasan 900 kaki persegi termasuk 2200 unit rumah yang sedang dilaksanakan di Rawang dengan konsep pembangunan campuran komersial.
“Rumah mampu milik baharu ini akan memiliki segala kemudahan spesifik yang baharu untuk kemudahan bersama yang dinikmarti B40 bersama pembangunan komersial di situ.
“Jadi ada kemudahan bersepadu ada di sana jadi tidak wujud segregation (pemisahan) antara B40 dan M40 itu,” katanya sambil menjelaskan projek itu sedang dibangunkan di tanah seluas 300 ekar oleh Tisy Sdn.Bhd.
“Manakala di Kepong kita menerusi pemaju Syarikat Perumahan Kerey Sdn.Bhd tapak kecil 2.9 ekar sedang dibangunkan rumah transit berkonsepkan studio sebanyak 400 unit dengan 500 kaki persegi setiap satu khas untuk belia bujang dan belum mendirikan rumah tangga,” katanya.
Ditanya mengenai penentuan harga untuk rumah mampu milik kedua dua golongan B40 dan belia berkenaan, Zuraida berkata, harga permulaannya antara RM95,000 hingga RM300,000.
“Kita adakan penapisan permohonan supaya pemohon benar benar layak dan memerlukan sahaja diberi keutamaan ikut peraturan membeli rumah mampu milik dan bagi M40 mereka tidak terdesak untuk memiliki rumah mampu milik,” jelas beliau.
Menurutnya kerajaan negeri juga mempunyai permohonan secara manual menerusi mengemukakan borang permohonan yang mana nama mereka tidak tersenarai dalam data di atas talian akan diselaraskan kemudian bagi mengelak pemalsuan dokumen permohonan.
“Malah rumah mampu milik berkenaan nanti tidak boleh jual sesuka hati kerana semuanya dilaksanakan secara konsep sewa dan beli.
“Apabila memiliki rumah itu pemilik terikat moratorium tidak boleh menjual selama lima tahun pertama tidak boleh jual rumah.
“Kedua kamu tak boleh jual sesuka hati kepada pihak lain, kamu hanya boleh jual rumah itu kepada KPKT yang mana harga akan ditentukan juga mengikut pasaran oleh kami sendiri,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette