Home Nasional Belum ada idea E-Paper Tamil Nesan, kata Vell Paari

Belum ada idea E-Paper Tamil Nesan, kata Vell Paari

Laporan polis ke atas majikan Tamil Nesan pada Rabu ini.

KUALA LUMPUR – Akhbar Tamil tempatan yang tertua di Asia Tenggara, Tamil Nesan bakal menutup tirai operasinya pada 1 Februari ini.

Akhbar berusia 95 tahun yang memulakan operasi pada tahun 1924 itu bagaimanapun belum dipastikan sama ada akan ditransformasikan dalam bentuk digital sebagai E-paper untuk tatapan pembaca setianya dalam kalangan masyarakat India.

Semalam, Pengarah Urusan akhbar itu, Datuk Seri S. Vell Paari mengesahkan kepada Bernama bahawa akhbar itu akan ditutup sepenuhnya bermula Jumaat ini.

Berita itu juga telah memberi kejutan besar kepada masyarakat India di negara ini yang masih menyayangi akhbar itu khususnya warga emas dan golongan pertengahan yang mengikuti perkembangan berita yang dilaporkan akhbar tersebut selama ini.

Rata-rata ramai diantaranya menerusi media sosial mahu akhbar itu dipertahankan demi sejarah kebanggaan masyarakat minoriti itu yang pernah melalui era sebelum dan selepas kemerdekaan termasuk ketika era penjajahan British.

Menurut Vell Paari, kos percetakan yang tinggi dan edaran yang semakin mengecil selain persaingan dengan media dalam talian selain akhbar sebahasa iaitu Malaysia Nanban, Makkal Osai dan Tamil Malar turut memaksa operasi akhbar itu dihentikan.

Warga India bernama Narasimma Ayyanggar yang lahir di Tiruchirapalli pada tahun 1890 telah datang ke Malaya pada tahun 1921 dan telah mengeluarkan edisi pertama itu di Malaya tiga tahun kemudian.

Edisi pertama akhbar Tamil Nesan diterbitkan pada 24 September 1924 dan disasarkan untuk masyarakat India.

Vell Paari juga menyatakan beliau tidak mempunyai perancangan atau idea untuk beralih kepada e-paper Tamil Nesan.

Portal Tamil Desam Media dipetik berkata, surat pemberhentian kerja kepada kira-kira 40 kakitangan serta wartawan syarikat itu telah diberikan dan gaji mereka akan dibayar sehingga Mac ini.

“Ketika ini belum ada keputusan sama ada mahu beralih Tamil Nesan ke arah digital.

“Ketika ini kami masih membincangkan mengenai kaedah pembayaran pampasan kepada pekerja dan wartawan kami.

“Tetapi belum membuat keputusan mengenai masa depan Tamil Nesan (E-paper),” katanya. – MalaysiaGazette