Home Nasional Empat lelaki ditahan, kereta kerajaan dicuri ditemui

Empat lelaki ditahan, kereta kerajaan dicuri ditemui

Polis menahan empat lelaki dan menemui semula kenderaan pacuan empat roda milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang dilaporkan hilang 25 Jan lepas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit, di sini, semalam.
Polis menahan empat lelaki dan menemui semula kenderaan pacuan empat roda milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang dilaporkan hilang 25 Jan lepas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit, di sini, semalam.

KANGAR – Polis menahan empat lelaki dan menemui semula kenderaan pacuan empat roda milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang dilaporkan hilang 25 Jan lepas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit, di sini, semalam.

Polis percaya Mitsubishi Pajero hak milik kerajaan itu digunakan kumpulan terbabit untuk menyeludup dadah, kata Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad.

Beliau berkata serbuan polis di rumah sewa lelaki terbabit pada Sabtu lepas itu turut menemui rangka senjata api dan komponennya yang tertera tulisan ‘9 Tactical Smith & Wesson’ serta sembilan butir peluru yang dipercayai diseludup untuk kegiatan jenayah,

Keempat-empat lelaki berusia antara 36 dan 40 tahun itu positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kumpulan itu turut terlibat dalam kes curi kenderaan di sekitar Kangar dan Beseri, dekat sini.

Sementara itu Noor Mushar berkata polis menahan dua lelaki berusia lewat 20-an yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun dan pecah rumah di Perlis dan Kedah sejak Disember lepas.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang masing-masing bekerja sebagai mekanik dan peniaga makanan itu ditahan dalam operasi polis di Changlun, Kedah baru-baru ini.

Polis merampas sebuah Honda Accord yang dipercayai diguna mereka untuk melakukan jenayah, beberapa bilah parang, barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan komputer riba.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.