Home Utama Kerajaan tanggung hutang besar jika ECRL diteruskan

Kerajaan tanggung hutang besar jika ECRL diteruskan

Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika memutuskan untuk membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tidak sebesar berbanding jumlah hutang jika projek rel itu diteruskan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan akan menanggung hutang besar selama 30 tahun jika projek ECRL diteruskan, katanya.

“Pampasan yang tinggi itu tidak sebesar jumlah yang akan kita bawa selama 30 tahun akan datang,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan perlu membayar pampasan besar jika projek ECRL bernilai RM81 bilion, dibatalkan.

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

“Kita dibebani hutang yang sangat berat. Kita tidak boleh bayar, jadi kita perlu mengurangkan beberapa perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya, bukan kerana kita tidak mahu menghormati kontrak, tetapi kita tidak boleh membayar kerana kontrak-kontrak ini boleh menelan belanja lebih daripada RM100 bilion, dan akan memudaratkan kita.

“Kami memahami kebimbangan pihak yang terlibat, bukannya kami mahu mengecewakan atau membatalkan kontrak. Kedudukan kewangan kini benar-benar ketat,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan terhadap projek itu, Dr Mahathir berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan memberikan penjelasan mengenainya.

Sambil mengakui bahawa beberapa menteri telah membuat kenyataan sebelum ini, Dr Mahathir ketika menjawab soalan mengenai pernyataan bercanggah yang dibuat oleh menteri membabitkan projek ECRL, berkata: “Beberapa kesilapan dibuat dan akan diperbetul.

Pada Sabtu (26 Jan), Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek RM81 bilion dengan CCC Ltd itu, dan pada hari berikutnya (27 Jan), Lim berkata Kabinet akan membuat pengumuman rasmi minggu ini terhadap projek ECRL yang disokong oleh China. – MalaysiaGazette