KUALA LUMPUR – Pengeluar produk berasaskan cengkih berjenama Super Scrub Beauty (SSB), Ain Alieya Beauty mahu mengembangkan pasaran produknya ke Laos pada tahun ini dalam usaha mengukuhkan jenamanya di peringkat antarabangsa.
Pengasasnya, Norain Ngah berkata, SSB yang diinovasikan daripada cengkih menjadi lulur itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dari luar negara antaranya Brunei, Indonesia dan Singapura.
Menurutnya, sumbangan 30 peratus daripada jualan SSB dari ketiga-tiga negara itu membuktikan produk tempatan mempunyai pasaran luas.
“Kami mendapat permintaan untuk memasarkan SSB di negara itu kerana keyakinan mereka terhadap produk ini. Kami juga melihat potensi pasaran perniagaan dalam segmen ini yang mempunyai peluang untuk diterokai.
“Malahan, kurangnya pesaing dalam segmen perniagaan ini menambahkan lagi keyakainan kami untuk meletakkan SSB di sana. Kini kami dalam proses dokumentasi dan menjangkakan SSB akan berada dalam pasaran Laos pada awal 2019,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Norain menambah, sehingga ini, pembungkusan SSB masih sama walaupun telah berada di pasaran luar negara kerana tidak mahu mengelirukan pengguna sedia ada dan syarikat lebih memfokuskan kepada kualiti SSB.
Norain berkata, syarikat juga akan mempromosikan SSB di seluruh negara untuk mencari ejen dan stokis baharu sebagai usaha mengukuhkan kedudukan SSB.
“Setakat ini, kami mempunyai 1,100 ejen dan stokis yang aktif dan menjangkakan akan menambahkan lagi bilangan 300 orang di seluruh negara. Penambahan ejen penting kerana kami mahu pengguna akan mendapat maklumat yang tepat mengenai SSB dan membeli yang berkualiti dan asli.
“Kehadiran mereka juga akan mendorong peningkatan jualan SSB yang menunjukkan peningkatan dari bulan ke bulan. Mereka sebagai pemudah cara untuk pelanggan mendapatkan produk SSB,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan syarikat pada 2019, Norain berkata, syarikat mengunjurkan jualan SSB akan meningkat sebanyak 20,000 sebulan berbanding 15,000 pada 2018.
Norain optimis sasaran itu dicapai berikutan adanya beberapa mesin baharu untuk meningkatkan kuantiti pengeluaran dan strategi syarikat yang akan memberikan latihan pemasaran yang konsisten kepada ejen dan stokis sedia ada dan yang baru.
SSB adalah lulur daripada cengkih dengan gabungan bahan semula jadi lain seperti minyak akar kayu, minyak rempah ratus, manjakani dan akar serapat mula dipasar secara meluas pada Ogos 2016. – MalaysiaGazette