KUALA LUMPUR – Syed Abdullah Syed Abdul Rahman memohon maaf selepas dua gambar kontroversinya tular di media sosial semalam.
Abang kepada Syed Saddiq itu mengakui kesilapan dan kecuaiannya dan memohon ia tidak dikaitkan dengan keluarga dan rakan-rakan beliau.
Beliau mahu kesalahannya itu dijadikan teladan kepada anak-anak muda agar ia tidak berlaku kepada mereka.
“Hari ini adalah hari mencabar untuk saya dan keluarga. Cabaran saya hadapi hari ini hanyalah sebahagian daripada tuduhan yang dihadapi dan mungkin akan berterusan dengan kedudukan saya sekarang. Bagi mereka yang benar-benar mengenal saya, terima kasih kerana berdiri di sisi saya, menghantar saya mesej dan mengingatkan saya supaya kuat,” katanya.
Permohonan maaf itu dibuat oleh Syed Abdullah selepas gambarnya bersama pelakon Emma Maembong dan seorang wanita tular di media sosial.
Dua gambar yang tular itu menunjukkan dia bersama Emma, seorang pelakon berhijab tetapi tanpa memakai tudung ketika di sebuah restoran.
Manakala satu lagi gambar ‘panas’ Syed Abdullah dengan seorang wanita yang duduk di celah kelangkangnya di dalam sebuah bilik.
Emma yang memohon maaf kepada netizen tidak menafikan gambar dia bersama Syed Abdullah di restoran tetapi bukan dirinya dalam gambar di sebuah bilik. – MalaysiaGazette