JAKARTA- Caj bagasi yang baharu sahaja diumumkan oleh syarikat penerbangan tambang rendah Lion Air dan Citylink mungkin akan memberi kesan besar terhadap sektor pelancongan Indonesia, kata Menteri Pelancongannya, Arief Yahya.
Arief yang kecewa dengan pengenalan caj berkenaan berkata, kesan negatif susulan polisi tersebut amat ketara yang mana penerbangan dari Riau contohnya menunjukkan penurunan sebanyak 40 peratus.
Beliau mencadangkan supaya caj berkenaan dikenakan pada kadar yang lebih munasabah.
“Caj berkenaan pastinya menyebabkan penurunan dalam sektor pelancongan.
“Sifir mudah. Apabila harga tinggi, permintaan akan menurun. Ini adalah sesuatu yang pasti,” katanya.
Penurunan kadar penumpang juga katanya akan turut memberi kesan kepada perniagaan syarikat penerbangan.
Mengikut laporan, pengangkutan udara mewakili 30 hingga 40 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan perjalanan individu.
Sekiranya,kos penerbangan meningkat terdapat kemungkinan besar penumpang akan membatalkan perjalanan mereka, katanya lagi.
Bagaimapaun, Arief tidak akan menyemak semula sasaran ketibaan pelancong tahun ini meskipun berhadapan dengan cabaran besar tersebut.- Agensi