Home Dunia Pawagam pertama di Jeddah dibuka

Pawagam pertama di Jeddah dibuka

Foto The National

JEDDAH, ARAB SAUDI – Sejak diharamkan berdekad lamanya, kerajaan Arab Saudi akhirnya membenarkan pembukaan pawagam di kota ini, lapor Arab News.

Pembukaan pawagam kedua selepas di Riyadh dijangka menarik perhatian 35 juta penonton di negara berkenaan untuk menonton filem pada setiap tahun.

Pada April tahun lalu, pentadbiran kota Riyadh membenarkan pusat hiburan itu dibuka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif serantau rangkaian pawagam Majid Al Futtaim, Cameron Mitchell, Arab Saudi memiliki potensi besar untuk menarik jumlah penonton yang ramai.

“Untuk jangka masa pendek, kami menjangkakan penonton Arab Saudi boleh mencecah angka 30 juta orang (setahun).

“Ini kerana kerana Dubai memiliki 15 juta pengunjung,” kata Mitchell ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan pawagam Vox di Red Sea Mall, Jeddah kelmarin.

Sementara itu, firma PwC Timur Tengah telah melakukan kajian pada November lalu yang menyasarkan perolehan dalam industri pawagam di Arab Saudi mencecah AS$1.5 bilion (RM6.2 bilion) menjelang tahun 2030.

Anggaran sedemikian dibuat berdasarkan populasi di negara berkenaan yang berjumlah 39.5 juta pada masa itu.

Tahun lalu, pemilik pawagam Vox memberitahu kesediaan untuk melabur AS$533 juta (RM2.2 bilion) untuk membuka 600 panggung dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pembukaan pawagam Vox menarik perhatian masyarakat Arab Saudi sehingga orang ramai berkongsi mengenai keterujaan mereka di laman-laman sosial.

Pawagam berkenaan juga akan menayangkan filem-filem seperti Glass, Mary Poppins Returns, How to Train Your Dragon serta Aquaman and On The Basis of Sex pada minggu ini.

Selepas Riyadh dan Jeddah, pawagam juga akan dibuka di wilayah Tabuk menjelang tahun ini atau awal 2020.

Pihak Fox juga memberi jaminan tidak akan tercetus sebarang isu pemisahan jantina penonton memandangkan pusat hiburan yang dibuka di Arab Saudi itu sudah ditetapkan pawagam khusus untuk mereka yang berkeluarga dan orang bujang. – MalaysiaGazette