Home Seni Hidup Rakyat Malaysia belum ubah minda, Amalina berehat dari Twitter

Rakyat Malaysia belum ubah minda, Amalina berehat dari Twitter

Amalina Che Bakri
Amalina Che Bakri

KUALA LUMPUR – Pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri hari ini mengejutkan pengikutnya apabila membuat keputusan untuk berehat daripada aktif di media sosial.

Beliau yang kini berkhidmat di St Mary Hospital London itu memberikan alasan berbuat demikian kerana mahu memberi tumpuan terhadap latihan surgikal dan akademiknya.

“Pengikut yang dihormati, saya telah memikirkan perkara ini banyak kali dan saya membuat keputusan untuk berehat seketika di Twitter.

“Saya mahu fokus kepada latihan pakar saya dalam pembedahan umum, matlamat kerja dan juga Dotor Falsafah serta dunia akademik saya,” kata beliau menerusi ciapan di Twitter.

Namun, Amalina melahirkan rasa kecewanya dengan pemikiran dan sikap rakyat Malaysia yang dilihat belum bersedia mengubah minda ke arah positif dan berdaya maju.

“Mungkin beberapa rakyat Malaysia masih belum sedia untuk perubahan minda ke arah positif dan berdaya dan ya, saya harus katakan bahawa saya kecewa.

“Oleh itu, lebih baik jika saya menumpukan apa yang terbaik untuk diri saya,” ujarnya.

Amalina yang sebelum ini pernah menarik perhatian rakyat Malaysia ekoran kecemerlangan luar biasa dalam akademiknya memberikan hujah berhubung produk arang yang dikatakan boleh memutihkan gigi.

Hujah tersebut diberikan oleh pakar pelatih surgikal di United Kingdom itu susulan promosi hebat oleh sebuah syarikat kosmetik terhadap produk keluaran mereka.

Tindakannya itu menjadi perbualan hangat di laman sosial oleh netizen yang meminta beliau menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Amalina berkata, dia terpanggil memberi nasihat perubatan kepada orang ramai berdasarkan kapasitinya sebagai seorang doktor. – MalaysiaGazette