Home Ekonomi AirAsia tuntut RM479.78j dari MASSB

AirAsia tuntut RM479.78j dari MASSB

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – AirAsia Group Berhad telah mengemukakan tuntutan sebanyak RM479.78 juta terhadap pengendali klia2, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB).

Antara tuntutan yang disenaraikan dalam notis itu ialah sebanyak RM99.6 juta bagi penutupan landasan, RM5.6 juta untuk kegagalan menyediakan perkhidmatan, RM1 juta untuk kerosakan pesawat dan gangguan Internet, RM2.5 juta untuk gangguan operasi dan RM371 juta bagi kehilangan pelanggan (dari 9 Mei 2014 hingga 2018).

Dalam notis untuk memulakan pendamaian antara MASSB, AirAsia dan syarikat sekutu jarak jauhnya, AirAsia X Berhad (AAX), syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, MASSB telah menyediakan tahap perkhidmatan yang buruk di terminal, hingga mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada dua pesawatnya.

Ia juga termasuk pembatalan dan kerugian pendapatan daripada penutupan landasan, kerosakan apron dan dua pesawat disebabkan kerosakan dalam infrastruktur dan pengimbas MASSB, paip bahan api pecah di Pier P klia2 dan gangguan Internet dan kehilangan pelanggan.

AirAsia dan AAX dalam kenyataan bersama sedang mencari pengantara mengikut Seksyen 74 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) 2015, yang memerlukan pertikaian itu diselesaikan dengan jujur melalui mediasi.

Katanya, di bawah akta tersebut, jika pengantaraan gagal, Mavcom akan memberi pertimbangan terhadap pertikaian itu.

Kedua-dua pihak berharap isu itu dapat diselesaikan dengan baik daripada memfailkan tuntutan balas di mahkamah untuk meneruskan pengantaraan, sebagaimana yang dikehendaki oleh akta Mavcom.

Bagaimanapun, AirAsia berkata, ia berhak untuk mendapatkan semula kerugian termasuk pilihan untuk mendapatkan ganti rugi di mahkamah undang-undang. – MalaysiaGazette