KUALA LUMPUR – Baru-baru ini ahli perniagaan kontroversi, Deepak Jaikishan mendakwa keluarga Datuk Seri Najib Razak percaya kepada amalan ilmu hitam.
Dalam video temubual Berani Kerana Benar, Deepak mengakui terlibat dan mendakwa isteri mantan perdana menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor seorang yang percaya kepada perkara seperti itu.
Malah beliau mendakwa di Seri Perdana, Najib dan Rosmah memuja patung untuk tujuan menjadikan orang menghormatinya.
Beliau juga mendakwa rakan Rosmah – seorang ahli perniagaan kain di Kelantan yang dikenali sebagai Kak Jan menjadi individu bertanggungjawab memperkenalkan bomoh Siam kepada kepada Rosmah.
Dalam satu rakaman video edaran Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, Kak Jan atau nama sebenarnya Rohaizan Ayat Khan menafikan dakwaan Deepak.
“Yang dia maksudkan itu kawan Kak Jan bukan Siam tapi seorang Cina dan bukan bomoh cuma dia ada main kad bernombor untuk suka-suka sahaja,” katanya lagi.
Mengenai dakwaan Deepak, ada ‘patung’ yang menjadi ritual sembahan di kediaman Rosmah, Kak Jan juga menafikannya.
“Setahu Kak Jan selama berkawan dengan Datin Seri (Rosmah) tidak ada patung. Ini satu lagi penipuan Deepak,” ujarnya lagi.
Malah beliau mendedahkan yang Deepak ada bertanyakan kepada kawannya yang didakwanya bomoh itu bagaimana mahu mendapatkan perkhidmatan bomoh untuk menyihir Najib dan Rosmah.
“Ini semua Deepak punya penipuan dengan gayanya sendiri mesti ada udang di sebalik batu,” katanya.
Sehubungan itu, sebagai orang berniaga, Kak Jan rasa malu dengan tuduhan Deepak dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
“Tunggu aku Deepak (di mahkamah)” katanya.- MalaysiaGazette