Home Nasional PLUS tawar 10% diskaun tol

PLUS tawar 10% diskaun tol

logo plus

KUALA LUMPUR – Pelanggan kenderaan Kelas 1 Lebuh raya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus pada 5 Februari ini sempena Perayaan Tahun Baru Cina.

Diskaun tol ini diberikan kepada pelanggan kenderaan Kelas 1 ketika mereka membayar atau membuat transaksi tol di Lebuh raya PLUS iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Potongan harga itu bermula mulai jam 12 pagi hingga 11:59 malam, kata Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail.

Sebagai contoh, sekiranya pelanggan mula memasuki lebuh raya pada jam 8 malam pada 4 Februari tetapi keluar dari lebuh raya dan membuat bayaran/transaksi tol pada jam 1 pagi pada 5 Februari, mereka akan tetap layak menikmati diskaun tersebut.

Bagaimanapun, diskaun tersebut tidak diberikan untuk transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang.

Ia juga tidak ditawarkan kepada pelanggan di Jambatan Pulau Pinang yang sedang menikmati diskaun tol 20 peratus yang sedia ada.

Pemberian diskaun tol ini juga merupakan tambahan kepada Program Kesetiaan PLUSMiles yang diperkenalkan oleh PLUS sebelum ini. Menerusi program kesetiaan ini, pelanggan yang berdaftar akan memperolehi 1 mata ganjaran bagi setiap 1 kilometer perjalanan mereka di lebuhraya PLUS. Pada 5 Februari ini, ahli PLUSMiles yang berdaftar yang mendapat diskaun tol 10 peratus akan turut menikmati ganjaran PLUSMiles ini.

Mata ganjaran tersebut boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai tol di pusat khidmat pelanggan PLUS terpilih atau barangan atau baucar yang menarik secara online di laman web PLUSMiles di www.plusmiles.com.my.

Selain itu, ahli PLUSMiles yang berdaftar juga berpeluang menikmati pelbagai tawaran serta diskaun menarik daripada rakan-rakan niaga PLUSMiles. – MalaysiaGazette