KUALA LUMPUR- Harga RON95 diturunkan sebanyak lima sen kepada RM1.93 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 Februari ini.
Penurunan sebanyak lima sen itu juga melibatkan petrol tanpa subsidi RON97 menjadikannya RM2.23 seliter berbanding RM2.28 seliter minggu lepas.
Harga runcit diesel bagaimanapun dikekalkan pada paras RM2.18 seliter.
“Penurunan harga runcit bagi produk petrol RON95 adalah berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia yang didorong oleh faktor peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.
“Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan bagi produk diesel, terutamanya dari negara China dan juga peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan tambahnya akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat. -MalaysiaGazette