Home Utama Kerajaan tubuh badan teliti ekonomi negara

Kerajaan tubuh badan teliti ekonomi negara

Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan ahli majlis kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan sebuah badan yang akan meneliti dan membuat keputusan mengenai ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, badan berkenaan akan berfungsi sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang ditubuhkan pada 1998.

Bagaiamanpun katanya, badan itu akan ditukar dengan nama yang berbeza.

“Kita akan tentukan semua masalah ekonomi dibawa kepada majlis ini dan menentukan supaya keputusan dibuat serta tindakan diambil dengan lebih cepat daripada sekarang.

“Sekarang ini agak berpecah kerana kita tidak ada satu badan yang menentukan mengenai pelaburan dan sebagainya.

“Ada yang pergi kepada kementerian tapi tindakan mungkin tidak begitu jelas kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Menurut Dr Mahathir lagi, kerajaan juga akan menubuhkan satu badan bagi memeriksa semua tuduhan terhadap PH dan apa yang sudah dilakukan PH sejak mengambil alih kerajaan.

Katanya, pada masa ini rakyat tidak mengetahui apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan kerana tidak ada satu penjelasan secara sepadu dan bersama.

“Sebenarnya, walaupun ramai yang percaya campuran PH ini tidak mungkin berjaya, hakikatnya sejak kita mengambil alih, kita boleh bekerjasama dan melaksanakan dasar kerajaan dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan bidang lain.

“Walaupun tidak nampak, banyak kejayaan yang sudah dicapai dan kita akan senaraikan kejayaan ini tidak lama lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette