Home Nasional Mappim cadang Yadim diletak bawah Majlis Raja-Raja

Mappim cadang Yadim diletak bawah Majlis Raja-Raja

Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) perlu diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja sebagai langkah mengekalkan matlamat asal penubuhan badan berkenaan.

Ketua Eksekutif, Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Mohd Zai Mustafa yang mencadangkan perkara itu berkata, fungsi Yadim sebagai badan dakwah bebas dan selesa kepada semua pihak harus dikekalkan supaya yayasan itu sedaya upaya dijauhkan daripada pengaruh politik.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mengutarakan kebimbangan tadbir urus politik dalam Yadim selepas lantikan terbaru jawatankuasa tertingginya dipelopori oleh orang politik.

Kata beliau, pihaknya menyokong penuh ucapan Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz pada Majlis Kolokium Pendidikan Islam di Yadim Putrajaya, pada 28 Februari tahun lepas.

“Beliau mahu menjadikan Yadim tempat yang ‘selesa’ kepada NGO-NGO dan semua pihak untuk memacu hala tuju pendidikan Islam yang lebih perkasa dan bersedia untuk memberikan fokus dan keutamaan.

“Namun, pelantikan beberapa ahli lembaga pengarah Yadim yang mewakili kuota parti politik akan menimbulkan suasana kegelisahan dan rasa tidak selesa serta memberi gambaran bahawa Yadim bukan lagi badan dakwah bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, timbul isu lantikan 10 ahli politik ke dalam lembaga pemegang amanah Yadim dipersoalkan, khususnya lantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Omar Ali yang merupakan anggota DAP.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa lantikan mereka, walaupun sebagai ahli politik, adalah berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman. – MalaysiaGazette

+ posts