KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengulangi desakan supaya diwujudkan Akta Menghina Islam dan Raja-Raja Melayu (AMIR).
Akta baharu itu perlu, bagi mengelak rakyat berterusan menghina institusi raja dan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan kepada mereka yang biadab, kurang ajar dan mengganggu gugat keharmonian negara serta masyarakat.
Menurut Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, menerusi akta baharu itu, mereka boleh ditahan tanpa bicara dan didakwa di mahkamah secara terbuka sebagai kesalahan jenayah.
“Perkasa bimbang jika penghinaan dan cercaan biadab terhadap Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan cabaran mengganggu gugat Fasal 153 yang merupakan asas Perlembagaan Persekutuan tidak ditangani, ia akan membawa kepada ketegangan, pertelingkahan dan pergaduhan antara kaum,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Nasrul Ali Hasan mengulas tindakan terbaharu seorang netizen menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 semalam dengan menyamakan seperti syaitan.
Katanya, polis diminta segera bertindak tegas dan menangkap lelaki terbabit kerana telah membangkitkan kemarahan rakyat, terutama umat Islam.
“Telah tular di laman sosial Facebook milik seorang lelaki Cina bernama Desmond Yongkor yang memuatnaik kenyataan menghina dan mengaibkan YDPA ke-16, Tuanku Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad.
“Kata-kata itu dimuatnaik ketika rakyat Malaysia sedang menghujani ucapan sembah tahniah ke bawah Seri Paduka Baginda atas pertabalan yang telah berlangsung pada 31 Januari lalu.
“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Putra, Kuala Lumpur petang semalam berhubung penghinaan itu dan minta pihak polis segera bertindak,” katanya.
Beliau sedih dan kesal masih ada segelintir rakyat sanggup menghina YDPA dengan kata-kata kesat dan biadab, walaupun pihak berkuasa pernah mengambil tindakan tegas ke atas netizen yang menghina institusi raja sebelum ini.
Menurutnya, perbuatan menghina YDPA itu bukan pertama kali dilakukan netizen, malah ada yang telah dihadap ke muka pengadilan dan dibebaskan begitu sahaja tanpa ada pendakwaan, menyebabkan ada yang tidak mengambil pengajaran dan terus menghina Raja-Raja Melayu.
“Saya difahamkan, lelaki ini pernah ditangkap, tapi dibebaskan dari tuduhan oleh mahkamah atas kesalahan menghina Nabi Muhammad sebelum ini.
“Dia dikatakan memberi alasan telefon bimbitnya hilang dan digodam oleh orang tidak bertanggungjawab dengan memuatnaik kata-kata penghinaan itu ke laman Facebooknya.
Sebagai pertubuhan yang memperjuangkan Islam, Institusi Raja-Raja Melayu dan Hak Keistimewaan Orang Melayu, katanya, Perkasa menggesa tindakan tegas diambil ke atas lelaki itu dan sesiapa sahaja yang berniat khianat dengan mempersendakan YDPA.
Pengajaran harus diberi kepada mereka yang cuba memijak perpaduan dan keharmonian negara ini.
“Kita sedar dengan keadaan semasa ini, polis sukar untuk bertindak dan mengambil tindakan ke atas golongan biadab dan kurang ajar ini kerana undang-undang sedia ada tidak mencukupi.
“Akta Hasutan, SOSMA juga diserang oleh pihak tertentu untuk dimansuhkan. Sebelum dimansuhkan, ISA menjadi mekanisme bagi melindungi hal yang menyentuh sensitiviti dan keharmonian rakyat Malaysia.
“Namun, Perkasa berharap isu ini tidak disejuk bekukan dan terserah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak berulang lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Dlm byak masaalah yg Malaysia hadapi ketika ini, masaalah Agama, Ketuan Melayu & Instituisi Raja yg jadi idama.
Mungkin Bab menjana & memajukan ekonomi, bukan dlm pengetahuan golongan2 ini.
Sudah masa nya, NGO2 di terajui oleh mereka yg cerdik sedikit dlm pelbagaian ilmu.