KUANTAN – Niat murni seorang pelajar bekerja sebagai buruh binaan sambilan untuk mencari pendapatan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mengalami kemalangan selepas terjatuh dari ketinggian enam meter ketika sedang bekerja di Sydney, Australia pada 17 Januari lepas.
Meor Muhammad Mustaqim Meor Ahmad Hussin, 28 pelajar jurusan pengurusan hospitaliti di Pacific Training Group (PTG), Sydney kini sedang menerima rawatan di Hospital St George di Kogorah, Sydney.
Menurut abangnya, Meor Ahmad Azizul Hakim, 31, adiknya yang merupakan anak ke sembilan daripada 11 beradik dan berasal dari Kampung Pelindung Maju, Beserah itu difahamkan mengalami kecederaan serius di bahagian pelvis akibat kejadian itu
“Kami sekeluarga dimaklumkan adik koma selama dua hari dan tahu tentang kemalangan itu dua hari selepas kejadian. Difahamkan dia telahpun menjalani satu pembedahan bagi memasang skru di bahagian tersebut (pelvis).
“Kos yang diperlukan dianggarkan dalam AUD 10,000 iaitu bersamaan RM32,000. Setakat ini kami berjaya mengumpul RM22,000 dan masih memerlukan baki sebanyak RM10,000,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Menurutnya, keluarganya kini giat mengumpul dana bagi menyelesaikan kos perubatan serta kos untuk membawa pulang adiknya ke tanah air segera.
Katanya lagi, dia akan berlepas ke Sydney esok bagi melihat keadaan adiknya walaupun kos yang diperlukan bagi membayar rawatan dan membawa adiknya pulang masih belum mencukupi.
“Besar harapan kami untuk membawa adik pulang dalam kadar segera kerana kos rawatan akan semakin meningkat jika terus berada di sana.
“Pengajiannya juga terpaksa ditangguhkan sementara waktu bagi menyelesaikan urusan rawatan. Jika dapat pulang, adik akan dibawa ke Hospital Melaka untuk mudahkan urusan penjagaannya (oleh kakak),” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubunginya di talian 014-5206882/013-8402191 atau terus menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156169281413 dan CIMB 06040005199201 di bawah nama Meor Ahmad Azizul Hakim Meor Ahmad Hussin. – Bernama