BUTTERWORTH – Malaysia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Singapura berhubung perintah larangan kenderaan asing yang memiliki denda atau saman tertunggak untuk memasuki negara itu bermula April ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya meminta dan menasihatkan mana-mana pihak pada masa ini agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memberikan persepsi negatif kepada hubungan Malaysia-Singapura.
“Kita difahamkan bermula 1 April, larangan tersebut dikeluarkan dan saya rasa kita perlu ada perbincangan lanjut lagi.
“Kita ada kaedah tersendiri untuk berunding mengenai hal ini dengan pihak Singapura dengan perbincangannya akan dibuat serentak dalam mesyuarat bilateral dengan republik itu nanti, ” katanya pada pemberita selepas majlis serahan Borang Keahlian Parti Bersatu Penduduk Bandar Cassia, Bahagian Batu Kawan di sini hari ini.
Marzuki mengulas kenyataan anggota Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse semalam yang menegaskan Malaysia juga berhak membuat peraturan sama. – Bernama