Home Utama Polis patah sindiket pengedaran dadah terbesar di Lembah Klang

Polis patah sindiket pengedaran dadah terbesar di Lembah Klang

Zulkifli Ali
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, DCP Zulkifli Ali bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Amarjit Singh (kiri) dan pegawai menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas pada Sidang Media Rampasan Dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – Polis Bahagian Narkotik Bukit Aman dan Selangor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Lembah Klang, apabila merampas 92.7 kilogram dadah jenis ketamin, Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berumur antara 41 hingga 54 tahun di dua lokasi berasingan, iaitu di Subang Jaya, dekat sini, dan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Buloh.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Comisioner Zulkifli Ali, dadah itu dipercayai untuk edaran tempatan di sekitar Lembah Klang dengan anggaran kegunaan kira-kira 300,000 orang.

Katanya, berdasarkan maklumat, anggota polis dari JSJN Bukit Aman dan Selangor telah menahan sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki di Jalan Jengka, Subang Jaya kira-kira jam 7.40 malam.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta itu, anggota kami menjumpai sebanyak 90 bungkusan teh Cina yang mengandungi dadah jenis ketamin.

“Siasatan ke atas lelaki itu juga membawa kepada serbuan kedua di RnR Sungai Buloh dan anggota kami menahan dua lelaki serta dua kereta iaitu jenis Toyota Vios dan Perodua Axia,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Menurut Zulkifli, tiga lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 8 Februari ini untuk siasatan.

Jelas beliau, dadah yang dirampas itu bernilai keseluruhan kira-kira RM5.6 juta dan nilai sitaan harta pula berjumlah RM184,000 melibatkan tiga kenderaan, wang tunai RM8,000 dan seutas jam tangan jenama Titan.

Katanya, ketiga lelaki terbabit adalah rakyat tempatan dan mereka dipercayai pengedar berdasarkan ujian air kencing negatif.

“Pengeluaran atau pengedaran dadah secara besar-besaran tanpa kawalan di sekitar Lembah Klang adalah salah satu faktor utama kenapa permasalahan dadah masih lagi berleluasa.

“Kegiatan ini berkeluasa bukan sahaja di Malaysia, malah di sekitar rantau ini, apabila sindiket dadah tempatan dipercayai berkolaborasi dengan sindiket antarabangsa.

“Malaysia dijadikan transit oleh sindiket ini sebelum diseludup keluar negara dengan harga lebih tinggi,” katanya.

Zulkifli turut menjelaskan, rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini dan kali terakhir dadah dirampas dalam jumlah yang banyak pada 10 Oktober 2017 di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan 254 kilogram. – MalaysiaGazette