Home Politik Tarik balik tuntutan terhadap Sarawak Report bukti kerjasama Pas-UMNO wujud – Khalid

Tarik balik tuntutan terhadap Sarawak Report bukti kerjasama Pas-UMNO wujud – Khalid

Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 04 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelesaikan kes saman terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah, menunjukkan kerjasama dengan UMNO benar-benar wujud walaupun sebelum ini dinafikan parti itu, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.

“Sebelum kita keluar Pas untuk tubuhkan parti Amanah (dahulu) kita kata perkara ini (kerjasama dengan UMNO) sedang berlaku, mereka kata ini semua fitnah, tetapi sekarang sudah jelas.

“Saya difahamkan suara rakaman Nik Abduh (Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz) diperakui sebagai benar di mana ucapannya menyebut tentang ambil duit UMNO,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Bebas Kereta sempena Hari Wilayah 2019, di sini hari ini.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman dalam satu kenyataan semalam berkata, Abdul Hadi membuat keputusan itu setelah meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang telah difailkan terhadap Rewcastle-Brown dari semua aspek selain mempertimbang pandangan serta nasihat peguam beliau.

Beliau berkata, penyelesaian itu melibatkan Abdul Hadi menarik balik tuntutan terhadap defendan iaitu Rewcastle-Brown serta defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Presiden Pas berkenaan.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi Pas bagi mempengaruhi mereka supaya menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

Ditanya mengenai kajian bahawa 60 peratus orang Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH), Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, parti itu tidak bimbang dengan perkembangan tersebut, namun mengakui kerajaan perlu bekerja lebih kuat.

“Enam, tujuh bulan pertama ini adalah keadaan di mana kita menyesuaikan diri sebagai kerajaan, di kementerian masing-masing, dengan budaya kerja, prosedur dan sebagainya.

“Selepas ini, kita akan pertingkatkan lagi prestasi kita. Kita ada masa dan ramai yang memahami bahawa kita perlu masa untuk membawa perubahan ke arah yang kita inginkan,” jelasnya.

Khalid berkata, wawasan kerajaan PH tetap sama, namun setiap tindakan perlu dibuat mengikut kemampuan kerajaan buat masa ini. – Bernama