KUALA LUMPUR – Usahawan muda mahu menggunakan peluang muncul dalam arena fesyen dengan mencabar diri menghasilkan baju untuk golongan bersaiz besar.
Hazizul Aziz, 32, berkata, matlamatnya menyertai Program Pembangunan Strategi Pemasaran Usahawan MIF@SOVO kelolaan MARA Wilayah Persekutuan adalah untuk terus memberikan sinar kepada golongan berbadan besar yang dilihat kurang merasai nikmat berfesyen.
“Raya ini saya rancang buat koleksi baju raya, hanya untuk tambah produk selain ready to wear tapi kepada untuk plus size. Kerana plus size kurang perhatian.
“Jadi, apa yang ditawarkan pasaran sekarang ada tapi tak sama dengan saiz yang S, M dan L. Jadi saya rasa kita akan tawarkan itu pada baju koleksi raya nanti,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Rancangan itu menurut Hazizul akan dapat direalisasikan menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini menerusi bantuan pelbagai platform yang disediakan oleh MARA In Fashion (MIF) selama enam bulan bermula Januari ini.
Beliau yakin selepas mengikuti program itu, ilmu pengetahuannya akan lebih berkembang bukan sahaja untuk memasarkan tudung seperti yang dilakukannya sekarang.
“MARA diketahui membantu usahawan, jadi saya nak platform itu, nak gunakan sebaiknya peluang membuka peluang untuk bertemu dengan orang-orang baru yang berkepentingan yang sebelum ini kita tidak dapat jumpa,” tambahnya.
Usahawan yang bermula empat tahun lalu dengan koleksi ready to wear yang berasaskan fabrik koton, Siti Fairus Zainuddin Shah,33, berkata, dia menyertai MIF dengan niat mahu kekal dalam dunia fesyen selain bersaing dengan pereka-pereka lain.
Siti Fairus berkata, peluang yang diterimanya kini sudah tentu memberi manfaat dan dapat mengembangkan lagi pasaran malah akan meluaskan lagi rangkaian perniagaannya.
“Sebenarnya bergerak sendiri agak sukar sebelum ini sebab tidak tahu di mana nak jual baju, hanya online dan di bazar-bazar.
“Dengan MIF, MARA buka banyak lagi platform khususnya kerjasama dengan LOKA untuk usahawan macam kami,” katanya yang dalam masa yang sama mahu memanfaatkan MIF untuk meluaskan produk rekaannya di pasaran.
Hazizul dan Siti Fairus merupakan dua orang daripada 10 usahawan muda yang berjaya mengikuti program MIF selama enam bulan.
Program itu akan mengetengahkan usahawan cara untuk menyediakan produk yang berkualiti dan cara meluaskan pasaran mereka secara online dan offline. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: