BENGALURU – Lembaga Pengarah Goldman Sachs Group Inc (Goldman) menahan bonus bekas Ketua Eksekutifnya, Lloyd Blankfein berjumlah sekurang-kurangnya AS$7 juta sehingga siasatan pembabitan firma itu dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.
Goldman juga memperkenalkan peruntukan baharu pelucut hak dalam pelan pampasan tahunannya untuk kedua-dua eksekutif paling kanan, Ketua Eksekutif semasa, David Solomon dan Blankfein, berkaitan dengan prosiding 1MDB yang sedang berjalan.
Langkah itu menunjukkan bahaya skandal 1MDB yang masih dipegang oleh Goldman, yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kerana peranannya sebagai penanggung jamin dan pengatur tiga jualan bon untuk mendapatkan dana sejumlah AS$ 6.5 bilion bagi 1MDB.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menganggarkan sejumlah AS$ 4.5 bilion telah disalahgunakan oleh pegawai tertinggi 1MDB dan sekutu-sekutunya antara 2009 dan 2014, termasuk beberapa dana yang diraih dengan bantuan Goldman.
Goldman Sachs secara konsisten menafikan salah laku.
Syarikat itu dalam fail peraturan pada hari Jumaat lalu berkata, Lembaga Pengarah boleh mengurangkan pakej gaji eksekutif tertinggi jika keputusan hasil siasatan berkaitan dengan prosiding 1MDB memberi kesan kepada keputusan pampasan mereka.
Bank Wall Street juga berkata, ia membayar Solomon sebanyak AS$23 juta bagi keseluruhan pampasan pada tahun 2018, kenaikan 9.5 peratus berbanding tahun 2017.
Manakala Blankfein menerima pampasan tahun 2018 sebanyak AS$20.5 juta susut AS$3.5 juta dari tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette