LONDON – Negara miskin perlu diberikan bantuan perubatan seperti suntikan khasnya pelajar perempuan bertujuan melindungi mereka daripada virus penyebab kanser serviks.
Reuters melaporkan, suntikan vaksin seumpama itu sebenarnya merupakan antara kemudahan asas kesihatan yang sangat penting untuk membendung penyakit tersebut.
Menurut sebuah data yang telah dikeluarkan oleh Agensi Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (IARC), sekurang-kurangnnya 570,000 serviks kanser yang baharu telah dikesan.
Angka itu sebenarnya amat menakutkan apatah lagi ini merupakan kanser keempat paling tinggi dihidapi golongan wanita.
Hampir setiap tahun, lebih daripada 310,000 wanita meninggal dunia akibat kanser serviks ini dan jangkaan mendapati ianya angka yang meningkat dan bukan menurun.
Apa yang lebih menyayat hati adalah, rata-rata yang meninggal dunia ini juga terdiri daripada kalangan wanita dari negara miskin yang tidak mendapat akses perubatan serta kesihatan sebaiknya bagi menangani penyakit maut ini.
Kadar imunisasi vaksin human papillomavirus (HPV) juga adalah sangat rendah.
Jelas Pengarah IARC, Elisabete Weiderpass, ada banyak khabar angin yang negatif berhubung pengambilan vaksin serviks sehingga menyebabkan umum takut seandainya berdepan dengan apa-apa risiko.
“Di beberapa negara kaya, ada penyokong kempen anti vaksin memujuk ibu bapa supaya menolak suntikan vaksin untuk anak mereka, sekali gus mendedahkan kaum wanita kepada risiko dijangkiti penyakit itu.
“Khabar angin yang tidak tepat mengenai vaksin HPV itu menyebabkan usaha memberi suntikan vaksin itu terjejas dan ianya perlu segera dihentikan jika tidak mahu ada peningkatan selepas ini,” ujarnya.
Kata Elisabete, pihaknya sangat komited untuk memerangi kanser serviks, sambil menegaskan bahawa suntikan vaksin HPV adalah berkesan dan selamat untuk diambil oleh kaum wanita. – MalaysiaGazette