BAGHDAD – Presiden Donald Trump tidak meminta kebenaran Iraq untuk meletakkan tenteranya di negara itu bagi ‘memerhati Iran’.
Bercakap di satu forum, Presiden Iraq, Barham Salih berkata demikian ketika menjawab soalan tentang penempatan tentera Amerika Syarikat di Baghdad.
Salih berkata, penempatan tentera Amerika Syarikat di Iraq adalah salah satu perjanjian antara dua negara untuk tujuan menangani pengganas dan Baghdad hanya berpegang teguh pada perjanjian berkenaan sahaja.
“Jangan membebankan Iraq dengan isu-isu anda. Amerika Syarikat adalah kuasa besar…tetapi jangan melaksanakan keutamaan polisi anda, kami menetap di sini,” kata Salih.
Trump sebelum ini berkata, adalah penting untuk terus menempatkan tentera Amerika Syarikat di Iraq supaya dapat memerhati Iran secara rapat.
Iraq dilihat dalam keadaan sukar selepas ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran meningkat.
Menurut Salih, Iraq mempunyai asas kepentingan untuk mempunyai hubungan baik dengan Iran dan negara-negara jirannya.
Disember lalu, Trump telah mengarahkan 2,000 tenteranya di Syria akan dikeluarkan selepas IS bukan lagi menjadi ancaman.
Namun beliau tidak merancang untuk memanggil semula tenteranya di Iraq. – MalaysiaGazette