Home Nasional IOJ sambut Tahun Baru Cina bersama gelandangan

IOJ sambut Tahun Baru Cina bersama gelandangan

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Onn Ja'afar (IOJ), Charles Mohan (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada sebahagian gelandangan pada program Jom CNY sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Prihatin dan kasih kepada gelandangan, Institut Onn Ja’afar (IOJ) menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina bersama golongan itu hari ini.

Bukan sahaja makanan, pakaian serta tajaan ang pau malah persembahan tarian naga yang menjadi tradisi masyarakat Cina juga dipersembahkan kepada 200 gelandangan.

Menariknya, selain IOJ,  program itu turut mendapat kerjasama daripada 20 sukarelawan dalam kalangan pelajar dari Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya (CUCMS) dan juga sebuah badan amal, Gombak Food Delivary Prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata, inisiatif dengan tema ‘Jom CNY’ merupakan tahun ke-4 diadakan bagi gelandangan sekitar Kuala Lumpur kerana tidak mahu kumpulan ketinggalan ketika sambutan perayaan.

Katanya, pihaknya komited bukan sahaja ketika musim perayaan seperti Tahun Baru Cina sebaliknya setiap keraian dan hari-hari penting akan sentiasa disambut bersama golongan tidak berkemampuan itu.

“Mereka tidak sepatutnya dilupakan, sebagai masyarakat majmuk, kita sambut semua perayaan semua kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang. Sambutan-sambutan seperti ini perlu diraikan oleh semua termasuk golongan tidak berkemampuan.

“Ini seperti serampang dua mata saya boleh katakan, sambil bergembira menyambut perayaan besar seperti ini, kita juga telah diberikan kelebihan serta peluang untuk melakukan kebajikan pada masa yang sama.

“Bukan sahaja CNY, tapi kita sambut juga Hari Raya Aidilfitri, majlis berpuasa, Deepavali, Jom Breakfast dan banyak lagi. Objektif IOJ adalah satu, kita berikan keceriaan di wajah mereka, kita juga beri peluang kepada mereka untuk bukan sahaja sambut sebaliknya menyambutnya dalam satu ‘keluarga’ yang besar.

“Di sini, walaupun tidak berkemampuan dan tidak mempunyai keluarga serta hidup serba kekurangan, namun apabila tibanya musim perayaan seperti ini, anda boleh lihat sendiri bagaimana golongan gelandangan sekitar Kuala Lumpur berkumpul di Pusat Transit Gelandangan (PTG).

“Masing-masing akan berjalan dari pelbagai lokasi untuk hadir ke sini bukan sahaja kerana ada sambutan dan makan-makan sebaliknya dapat juga bertemu dengan kawan-kawan mereka, anda dapat lihat golongan ini juga mempunyai kehidupan mereka.

“Anda lihat sendiri betapa gembiranya mereka, seolah-olah mereka lupa sekejap yang mereka tiada keluarga, rumah, menderita penyakit kronik tertentu seperti HIV Aids dan sebagainya tetapi untuk seketika mereka lupa semua itu, itu yang kami mahukan, kegembiraan walaupun hanya seketika” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

MGF05022019_INSTITUT ONN JAAFAR CNY_04
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Onn Ja’afar (IOJ), Charles Mohan bercakap kepada media pada program Jom CNY sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2019

Beliau berkata demikian ketika di temui di PTG di Jalan Pahang yang tuurt di hadiri gelendangan sekitar Kuala Lumpur khasnya Chow Kit pagi tadi.

Jelas Charles, inisiatif ini juga sebenarnya adalah antara tanggungjawab korporat sosial yang perlu dipikul bersama-sama terutama membantu kerajaan dalam menangani  permasalahan sosial, masalahan ekonomi di kawasan sekitar Jalan Chow Kit.

“Kita tidak seharusnya lepas tangan dan tidak peduli golongan seperti ini, mereka yang sebenarnya memerlukan kita. Kita perlu sentiasa fokus dan prihatin, sekurang-kurangnya banyak permasalahan dapat ditangani.

“Syukur dan gembira apabila kita dalam lihat bagaimana majlis ini dapat menggembirakan mereka yang tinggal di rumah transit ini. Kita akan berterusan meneruskan inisiatif seperti ini dengan bantuan agensi dan badan-badan lain juga.

“Untuk mendekati golongan ini juga bukan sehari dua sebaliknya memerlukan komitmen, untuk kita lebih memahami kepada kehendak dan keperluan mereka juga,” ujarnya. –MalaysiaGazette