KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) yang bakal dipilih untuk Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bukanlah dalam kalangan individu yang sudah ‘luput tarikh’.
Paling penting calon berkenaan adalah individu yang boleh membawa nama parti, tidak membebankan parti dan boleh diterima oleh rakyat.
“Kriteria mestilah calon yang boleh diterima oleh semua orang, bukan boleh diterima sesetengah puak, sesetengah pihak tapi tidak dapat diterima oleh orang ramai. Yang penting diterima oleh orang ramai, kita bukan kata diterima oleh parti UMNO sahaja, MCA sahaja.
“Kita menawarkan produk kita kepada orang ramai. Jadi mestilah calon tersebut boleh kita pasarkan, boleh diterima dan dibeli oleh orang ramai.
“Ini semua adalah mengenai pemasaran, tidak ada gunanya menawarkan produk yang sudah luput…tidak ada gunanya.
“Saya tidak akan mengisi calon yang sudah expired…itu sangat pasti. Produk (calon) mestilah boleh diterima dan boleh dipasarkan dalam ‘pasaran terbuka’,” kata Datuk Seri Mohamad Hassan ketika ditemui di Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baru Cina hari ini.
Pemangku Presiden UMNO itu menambah, BN perlu menyusun atur strategi sebaik-baiknya memandangkan calon perlu membawa nama parti dan bukan sebaliknya.
Mohamad berkata, beliau akan mengumumkan calon PRK Semenyih pada waktu yang sesuai.
PRK DUN Semenyih bakal diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, dari Pakatan Harapan meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU-14, Bakhtiar menewaskan penyandan Datuk Johan Abdul Aziz (BN) serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam pada itu, Mohamad berkata, BN kekal komited untuk melakukan pembaharuan dan meremajakan semula komponen parti-parti tersebut.
Mengakui komponen itu merupakan gabungan parti-parti lama, BN perlu mencari kaedah sesuai dan terbaik untuk lonjakan baharu.
“Kalau roket nak naik ke bulan kena ada explosion untuk keluar dari solar, jadi kita BN dulu sudah melonjak, sekarang mendatar, takut menurun pulak.
“Kita kena wujudkan new boom dalam BN, UMNO. Kena ada pembaharuan dan perlu ada azam untuk melihat parti masing-masing kerana kita bukan lagi parti kerajaan.
“Maka tanggungjawab adalah parti masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette