KUALA LUMPUR – Siapa yang akan percaya bahawa pelantikan Hew Kuan Yau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Pengerusi Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC) tiada kaitan dengan DAP.
Ini kerana banyak pihak mengetahui bahawa tindakan Hew keluar DAP pada tahun 2016 hanya wayang parti itu bagi mengelakkan ia dikaitkan dengan menderhaka kepada negara.
Ahli DAP yang terkenal dengan jolokan ‘Superman’ itu mengumumkan keluar parti pada 15 Julai 2016, susulan kenyataannya menyokong Beijing menuntut Laut China Selatan yang dikecam pelbagai pihak.
Hew menyokong status Laut China Selatan adalah milik China dan melabelkan penentang tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan sebagai anti-komunis.
Datuk Seri Najib Razak mendakwa, ramai nampak Hew terus menjadi penceramah utama DAP dalam mana-mana kempen dan acara parti sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Rakyat Malaysia bukan buta. DAP ini nak terus menipu sehingga bila?
“Mengakulah sahaja yang Hew telah banyak berjasa kepada DAP untuk menghasut rakyat untuk benci BN. Malu apa?,” soal bekas Perdana Menteri itu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang mempertahankan pelantikan Hew.
Tan mendakwa lantikan Hew bukan satu bermotifkan politik.
Sebelum ini, MCA turut menuntut Tan memberi penjelasan berhubung pelantikan Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai `Superman Hew’ sebagai CEO organisasi tersebut kerana banyak calon lebih sesuai.
Menurut Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng, lantikan politik itu memberi gambaran tentang gejala kronisme yang wujud dalam kerajaan Pakatan Harapan.
Selain itu, Pakatan Harapan dilihat melanggari janji pilihan raya yang enggan melakukan lantikan politik.
Hew dilantik sebagai CEO MCBC pada 1 Februari lalu. – MalaysiaGazette