Home Utama ‘Tahun Baru Cina sama sahaja, janji dapat makan’

‘Tahun Baru Cina sama sahaja, janji dapat makan’

Kumpulan tarian singa menyerahkan buah limau kepada sebahagian gelandangan pada program Jom CNY sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Institut Onn Ja’afar (IOJ) bagi meraikan gelandangan sekitar Kuala Lumpur hari ini memberikan kepuasan tidak terhingga kepada golongan itu.

Bagi mereka, setiap kali perayaan bermakna mereka akan diberikan makanan dan ia sudah membuatkan hari mereka ceria.

Walaupun rata-rata mereka tidak memiliki kehidupan sempurna namun percikan pesta perayaan mampu membuatkan mereka tersenyum walaupun sekejap.

Selepas itu, mereka kembali tidur di jalanan dan mencari sesuap nasi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut Pang Teoh Chong, 70, dirinya sudah menjadi gelandangan lebih 20 tahun sejak ditinggalkan keluarga terdekatnya apatah lagi ketika ini sudah tidak boleh bekerja seperti dulu lagi.

MGF05022019_INSTITUT ONN JAAFAR CNY_07
Seorang gelandangan, Peng Teoh Chong, 70 pada program Jom CNY sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2019

Sambutan Tahun Baru Cina bagi Teoh Chong sama seperti tahun-tahun sebelum ini – suram dan tidak begitu bermakna namun sangat menghargai usaha dilakukan segelintir pihak mahu meraikan mereka.

“Saya sudah tinggalkan rumah sejak  emak dan ayah meninggal. Saya bongsu, ada kakak tapi beliau sudah berkahwin dan berhijrah entah ke mana, mungkin Singapura atau Thailand, saya tidak begitu pasti.

“Saya sudah menetap di Chow Kit, lorong-lorong dan kaki lima sahaja. Pusat transit ini tempat saya makan, minum dan kadang-kadang tidur. Itu sahaja kehidupan saya. Saya dapat juga bantuan wang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiap-tiap bulan.

“Saya sudah tidak larat kerja lagi. Saya juga tidak ada apa-apa niat untuk cari keluarga lagi, mereka juga tidak cari. Cukuplah, tidak mahu bebankan mereka juga. Saya tidak tahu apa hendak rindu lagi, semuanya sudah tidak ada.

“Tapi tempat ini, berikan sedikit kegembiraan. Ramai juga yang akan datang bagi kami makanan tiap-tiap hari. Macam hari ini, dapat makan, dapat ang pau. Cukuplah. Penting, dapat makan cukup.

“Tidak ada apa-apa keinginan yang besar, sini ada kawan-kawan. Semua sama nasib sahaja, ada juga lebih kasihan kerana sakit, kami tiada keluarga tiada rumah tapi ada makanan, ada orang kisah tentang kami. Itu cukup.

“Tahun Baru Cina ini sama sahaja macam yang dulu-dulu, cuma sekarang saya tidak keseorangan, itu sahaja,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

MGF05022019_INSTITUT ONN JAAFAR CNY_15
Gelandangan, Ng Choy Huat, 54 pada program Jom CNY sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2019

Berbeza pula dengan Ng Choy Huat, 54 yang berasal dari Ampang Selangor, yang tidak mahu sebarang ‘komitmen’ keluarga walaupun mempunyai anak dan saudara mara lain sejak kematian isterinya.

Kata Choy Huat, dia tidak mampu menyara mereka kerana hanya walaupun bekerja sebagai buruh selain tidak mampu membeli rumah.

“Anak perempuan saya ikut kakak saya, dia juga sudah berkahwin. Saya tidak  ‘berguna’ dan saya juga tidak boleh beri mereka sebarang kesenangan, baik begini sahaja. Saya jaga diri saya sendiri dan mereka jaga diri mereka.

“Ada keluarga ini susah, kena cari wang untuk jaga. Saya tidak boleh jaga sesiapa kecuali diri sendiri. Biarlah saya gembira begini. Saya tidak ada rumah, tidur di rumah transit ini dan gembira.

“Tahun Baru Cina saya ada pergi melawat anak saya, tengok sekejap. Mereka tahu saya begini dan tidak kisah kerana tidak susahkan sesiapa. Sini lagi gembira, makan ikut masa, ramai murah hati bagi makan, bagi duit, bagi baju, cukuplah. Kenapa nak pening,” ujarnya.

MGF05022019_INSTITUT ONN JAAFAR CNY_18
Chew Thien Loong @ Mohd Alif Chew Abdullah, 53 pada program Jom CNY sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2019.

Bagi mualaf Chew Abdullah, 53, pula bukan gelandangan tetapi suka bercampur dengan golongan itu selain cuba membantu mereka.

“Saya suka datang sini, saya bekerja jual suratkhabar dan kerja-kerja lain. Saya suka dengan gelandangan ini, suka dengar cerita-cerita mereka dan minat untuk meluangkan masa dengan mereka ini.

“Saya suka datang beri semangat kepada mereka, beri idea positif kepada mereka, saya ada keluarga dan tempat tinggal tapi suka bersama mereka.

“Bukan sahaja sambutan Tahun Baharu Cina sahaja tetapi banyak juga sambutan-sambutan lagi yang diraikan di sini, ada sahaja yang datang beri bantuan dan buat amal jariah bantu,” katanya.

MGF05022019_INSTITUT ONN JAAFAR CNY_11
Gelandangan, Mior Faizal Muhd Lee, 42 pada program Jom CNY sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2019.

Untuk Mior Faizal Mohd. Lee, 42, dia merupakan bekas penagih yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak sebelum berhijrah di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lepas.

“Saya bekas penagih, susah dapat kerja. Saya pun sedar saya banyak buat kesalahan jenayah juga seperti ragut dan curi. Susah sangat orang terima orang macam saya ini sebenarnya.

“Sini lebih baik, saya tidak tinggal di rumah transit ini, saya tinggal di kaki lima berdekatan dengan NU Sentral. Sini saya datang untuk makan, minum dan jika ada perayaan seperti ini, saya akan datang.

“Cukuplah dapat makan sehari, banyak duit pun tidak bagus nanti buat balik perangai ‘lama’. Saya gembira macam ini,” jelasnya. –MalaysiaGazette